“Telah hilanglah dahaga, telah basahlah kerongkongan, semoga ada pahala yang ditetapkan, jika Allah mengkehendakiâ€. Alhamdulillah, pada 11 Ogos 2012 yang lalu Badan Kebajikan Kakitangan Islam (BKKI), JMG Sabah telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa 2012 bertempat di ruang pejabat JMG Sabah.
Persiapan menyediakan ruang solat telah dimulakan sejak 10 Ogos 2012 lagi memandangkan ruang Bilik Mesyuarat Nephrite perlu dikemaskan agar sesuai dijadikan ruang solat. Memandangkan jawatankuasa Majlis Berbuka Puasa 2012 telah memutuskan untuk mengendalikan jamuan secara bergotong royong maka persiapan majlis pada 11 Ogos 2012 telah dimulakan seawal jam 2.00 petang. Setiap ahli BKKI telah bekerjasama untuk menyediakan ruang makan dan menyediakan juadah berbuka.
Bermula jam 5.40 petang, majlis yang direncanakan telah dimulakan dengan bacaan Yasin dan tahlil yang dipimpin oleh Ustaz Haji Harun Tafsir iaitu seorang pendakwah yang berasal daripada Pekalongan, Indonesia. Selesai tahlil, kesempatan beberapa minit sebelum azan digunakan oleh setiap ahli dan keluarga untuk beramah mesra serta bersedia untuk berbuka puasa. Sebaik azan dikumandangkan oleh Haji Kamil, setiap yang hadir menjamah juadah ringkas yang disediakan sebelum solat Maghrib ditunaikan secara berjemaah.
Selesai solat Maghrib, hadirin bergerak ke ruang makan di hadapan Blok Kinabalu. Hidangan kari daging, ikan bakar, ayam goreng dan pelbagai lagi juadah dimakan dengan penuh selera. Sesekali kedengaran suara para hadirin berborak secara santai. Sebaik azan Isyak berkumandang, para hadirin bergegas ke ruang solat untuk mengerjakan solat Isyak, solat Terawih dan solat Witir secara berjemaah.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ceramah bertajuk “Mencari Lailatul Qadar†yang disampaikan oleh Ustaz Haji Harun Tafsir secara ringkas namun cukup bermaklumat dan bermanfaat. Selesai Ustaz menyampaikan ceramah, majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan yang disempurnakan oleh Haji Ibrahim Bin Amnan kepada beberapa penerima yang terdiri daripada 2 keluarga yang memerlukan, 6 orang anak yatim dan seorang anak yang ditinggalkan bapanya. Sumbangan dibuat melalui hasil kutipan daripada ahli di mana kutipan telah dijalankan di sepanjang bulan Ramadhan. Selain itu juga, pada tahun ini sumbangan wang zakat daripada beberapa individu yang bekerja di luar negara yang diwakilkan kepada En. Kamaruddan Abdullah turut disampaikan kepada 2 keluarga miskin tersebut.
Sebagai tanda penghargaan dan berkongsi kegembiraan setiap ahli BKKI, penyampaian anugerah kecemerlangan akademik telah dilaksanakan di mana pada tahun ini terdapat tiga orang penerima iaitu adik Hadi Danial Bin Kamaruddan, Norsakinah Binti Suhaimie dan Nor Hafizah Binti Mujahid. Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian cenderahati yang disampaikan kepada Ustaz Haji Harun Tafsir di atas kesudian dan komitmen beliau mengendalikan bacaan Yasin, solat berjemaah dan seterusnya menyampaikan ceramah.
Selesai majlis di ruang solat, para hadirin kemudiannya ke ruang makan untuk sedikit jamuan moreh. Hidangan sate dan beberapa menu lainnya telah menjadi santapan para hadirin sebagai mengakhiri majlis yang diaturkan pada malam tersebut.
Peluang berkumpul sesama ahli BKKI, keluarga dan jemputan sememangnya menggembirakan. Namun di sebalik kegembiraan tersebut, tersimpan juga pelbagai hikmah dan pengajaran untuk diambil oleh setiap yang hadir.
- Foto 1 Foto 1
- Foto 2 Foto 2
- Foto 3 Foto 3
- Foto 4 Foto 4
- Foto 5 Foto 5
- Foto 6 Foto 6
- Foto 7 Foto 7
- Foto 8 Foto 8
http://blog.jmg.gov.my/jmg-sabah/majlis-berbuka-puasa-2012#sigProIdc09966d7ad
Laporan ini disediakan oleh En. Norzuhairil bin Zubir.