BENGKEL PEMURNIAN KERTAS MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI (MMKN) SARAWAK DELTA GEOPARK

BENGKEL PEMURNIAN KERTAS MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI (MMKN) SARAWAK DELTA GEOPARK

KUCHING, 7 FEBRUARI 2018: Bengkel Pemurnian Kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Sarawak Delta Geopark (SDG) telah diadakan di Bilik Mesyuarat Kabu, The Kuching Waterfront Hotel dan dihadiri oleh Encik Hilary Muyan Nicholas Thomas, Timbalan Pengarah JMG Sarawak, Encik Jaithish John, Ketua Aktiviti Pemetaan Geologi, Dr. Dana ak Badang, Ketua Projek Warisan Geologi dan Encik Benson Ling Jin Yaw, Pegawai Geosains. Bengkel ini dianjurkan bersama oleh Jabatan Hutan Sarawak dan Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia Sarawak.

Bengkel ini diadakan bertujuan memperhalusi dan memuktamadkan kandungan kertas cadangan bagi mendapatkan kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk penubuhan Sarawak Delta Geopark, di Bahagian Kuching. Bengkel dimulakan dengan pembentangan oleh Dr. Dana ak Badang yang bertajuk Geopark ‘Innovation for Regional Sustainable Development’. Ia disusuli dengan percambahan fikiran, perbincangan dan kaji semula kertas cadangan MMKN Sarawak Delta Geopark.

Sarawak Delta Geopark telah dicadangkan sebagai kerangka pembangunan lestari secara terintegrasi berasaskan aspek warisan geologi, disamping warisan biologi dan budaya. Penubuhan SDG yang berkonsepkan pemuliharaan, pendidikan dan pelancongan khususnya geopelancongan, dijangka akan dapat mempromosi dan meningkatkan lagi industri pelancongan di Sarawak. Selain daripada itu ia juga mampu meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan warisan semulajadi, memperkukuhkan pembangunan infrastruktur dan memertabatkan ekonomi sosial masyarakat setempat. 

Khususnya bagi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sarawak, penubuhan SDG merupakan salah satu langkah untuk mempromosikan Jabatan kepada agensi-agensi kerajaan dan swasta serta masyarakat.

Sumber : Dr. Dana Badang & En. Benson Ling Jin Yaw.

1

2

Written by : Marina M