PROGRAM KESEDARAN AWAM TANAH RUNTUH MIRI SARAWAK 2018

PROGRAM KESEDARAN AWAM TANAH RUNTUH MIRI SARAWAK 2018

MIRI, 08 FEBRUARI 2018: Satu Program Kesedaran Awam Tanah Runtuh Miri Sarawak telah diadakan di Dewan Baitumal, Komplek Islam Sarawak, Miri dan dihadiri oleh Encik Edward Muol, Ketua Aktiviti Geologi Kejuruteraan JMG Sarawak dan Puan Angela Ee, Pegawai Geosains. Program ini dianjurkan bersama oleh Pejabat Residen Miri dan Jabatan Kerja Raya Malaysia Cawangan Kejuruteraan Cerun dan dirasmikan oleh YB Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak merangkap ADUN N.75 Senadin.

Program ini diadakan hasil daripada perbincangan pada mesyuarat bersama YB Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak merangkap ADUN N.75 Senadin pada 12 Januari 2018  setelah berlakunya satu kejadian tanah runtuh di Kg. Lereng Bukit, Miri pada 6 Januari 2018 yang lepas.

Program ini diadakan dengan tujuan untuk memberi maklumat-maklumat mengenai tanah runtuh dan memberi kesedaran awam tentang bagaimana mengesan tanda-tanda awal tanah runtuh serta apa yang perlu dilakukan jika tanah runtuh berlaku lagi. Selain itu, maklumat-maklumat geologi di lapangan yang telah dikumpul oleh pegawai-pegawai daripada Aktiviti Kejuruteraan Geologi JMG Sarawak yang diketuai oleh Encik Edward Moul dan dikongsikan dengan Encik Ab. Rashid bin Ahmad (Kader JMG Malaysia di CKC, JKR Malaysia) untuk disampaikan dalam program ini.

Program ini dimulakan dengan taklimat Kejadian Tanah Runtuh Di Bahagian Miri yang disampaikan oleh Kapt. (PA) Mohd Hazle bin Abdul Hamid daripada Jabatan Pertahanan Awam Sarawak. Selepas majlis perasmian, sesi diteruskan dengan pembentangan Pengenalan Kepada Kejadian Tanah Runtuh serta Penyelenggaraan Cerun oleh Encik Ab. Rashid bin Ahmad, Ketua Pegawai Geosains daripada JKR Cawangan Kejuruteraan Cerun Malaysia. Pembentangan ketiga bertajuk Pemetaan Bahaya Cerun disampaikan oleh Ir. Norlinah binti Nawir dan akhir sekali adalah Kaedah Pembaikan Cerun oleh Ir. Kamal Bahrin bin Jaafar.  

Diharapkan juga melalui program ini, JMG secara amnya dan JMG Sarawak khususnya lebih dikenali oleh masyarakat tempatan dan agensi-agensi pengurusan bencana lain di Negeri Sarawak.

Sumber Maklumat & Foto : Pn. Angela Ee

1

Written by : Marina M