GEOTAPAK

GEOTAPAK

Geotapak (geosite) ialah tapak atau kawasan yang mengandungi ‘bahagian daripada permukaan bumi yang mempunyai warisan saintifik bernilai tinggi’. Kami di Malaysia memulakan kajian mengenai geotapak pada 1996, untuk menentukan, menciri dan menilai ‘sumber bumi baharu’ ini bagi tujuan pemuliharaan dan pembangunan lestari. Pendekatan ini menyampang daripada amalan ahli geologi lazim yang memberikan tumpuan kepada ‘nilai eksploitatif sember bumi’. Kami memperkenalkan istilah geokepelbagaian, geotapak, geopemuliharaan, geopelancongan, dan geopark. Seperti biasa, mereka memberikan tumpuan kepada ‘geopark’, tetapi mengabaikan pembangunan geotapak. Walhal, inilah binaan asas untuk geopemuliharaan, geopelancongan dan geopark! Geotapak dinilai berasaskan warisan saintifik (sebahagian daripada warisan budaya - pembangunan ilmu). Ia dikelaskan kepada 5 komponen asas: 1. Minerals - komponon asas dalam pembentukan batuan, ada yang biasa dan ada yang langka, ada yang terhablur lengkap menunjukkan nilai estetik tinggi. Berlian adalah mineral! 2. Batuan - bahan yang membentuk permukaan bumi (litosfera). Pelbagai jenis, pelbagai cara pembentukannya, dan pelbagai usia. Batuan adalah dasar kehidupan - terurai membentuk tanah, sesuai untuk hidupan dan ketamadunan manusia. Pernahkah anda mendengar istilah ‘Kitar Batuan’? 3. Fosil - hidupan purba, sebahagian besar telah pupus. Dunia dihuni oleh pelbagai hidupan kompleks telah berada di permukaan bumi sejak lebih 600 juta tahun lepas. Hidupan berkembang dan pupus beberapa kali, tinggalan di dalam batuan dipanggil fosil. 4. Struktur Geologi - batuan membentuk struktur seperti perlipatan, sesaran dan pelbagai bentuk aneh. Ia hasil ‘proses tektonik’ (mampatan, regangan dan pengangkatan) dalam masa yang panjang. Kadang kala ia menghasilkan ‘lukisan indah oleh proses alam’. 5. Landskap (atau rupabumi) - gunung, gaung, sungai, dataran dan lembah. Pembentukannya berlaku dalam masa panjang oleh proses dalaman (tektonik) dan proses luaran (luluhawa, hakisan). Bentuk rupabumi yang unik dan menakjubkan dilihat sebagai ‘keindahan alam yang menimbulkan rasa kekaguman dan inspirasi’. Landskap adalah satu daripada komponen geotapak yang dihargai dan sering dipulihara.

Written by : tarmizi