Lawatan Amal Ramadhan 1433H, BKKI JMG Sabah

Raut wajah dan gelagat si comel walaupun nampak menggembirakan namun bagi yang memerhati tetap merasakan kesayuan di hati.  Bagi tahun 2012, Badan Kebajikan Kakitangan Islam (BKKI) merencanakan untuk melawat dan memberikan sumbangan kepada dua buah rumah amal iaitu Rumah As-Sakinah dan Rumah Anak Kesayangan. Rumah As-Sakinah menempatkan anak-anak yatim manakala Rumah Anak Kesayangan menempatkan anak-anak daripada pelbagai latar belakang yang terdiri daripada 8 asnaf penerima zakat.

Lawatan telah diadakan pada 14 Ogos 2012 dan dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang. Seramai 13 orang ahli BKKI yang diketuai oleh Haji Ibrahim Bin Amnan telah mula berkumpul seawal jam 8.30 pagi untuk bertolak ke Rumah As-Sakinah yang terletak di Taman Pantai Lok Kawi. Ahli rombongan tiba di Rumah As-Sakinah sekitar jam 9.05 pagi. Acara kemudiannya dimulakan dengan ucapan oleh Haji Samin Haji Ongki, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Rumah As-Sakinah. Haji Samin menerangkan serba sedikit cerita di sebalik penubuhan Rumah As-Sakinah seperti menjelaskan bahawa Rumah As-Sakinah pada asalnya dibina untuk menyediakan rumah anak yatim bagi daerah Papar, Putatan dan Penampang. Menurut beliau, 9 orang anak yatim telah menetap di Rumah As-Sakinah dan pada masa yang sama sebarang bantuan yang diterima akan turut diagihkan kepada anak-anak yatim yang tidak menetap di Rumah As-Sakinah. Acara kemudian diteruskan dengan sedikit ucapan ringkas daripada Haji Ibrahim selaku Ketua Rombongan BKKI.

Seterusnya, sumbangan daripada ahli BKKI telah diserahkan kepada pengurusan Rumah As-Sakinah dan sedikit duit raya turut disampaikan kepada anak-anak yatim yang menginap di Rumah As-Sakinah. En. Kamaruddan kemudian menjadi wakil untuk menyampaikan wang zakat yang diterimanya kepada Haji Samin selaku Pengerusi jawatankuasa pengurusan. Ahli rombongan kemudiannya ditayangkan dengan persembahan multimedia berkenaan Rumah As-Sakinah. Sebagai mengakhiri lawatan, ahli rombongan mengambil peluang bergambar dengan anak yatim dan pihak pengurusan Rumah As-Sakinah.

Lawatan ke Rumah Anak Kesayangan, Sembulan pula dibuat pada sebelah petang di mana 7 orang ahli rombongan bertolak pada jam 2.30 petang dengan menaiki sebuah kenderaan Jabatan dan sebuah kenderaan peribadi. Acara dimulakan dengan ucapan ringkas Haji Ibrahim dan kemudiannya diteruskan dengan ucapan pentadbir Rumah Anak Kesayangan iaitu En. Ramdin Apong. En. Ramdin di dalam ucapannya mencerita serba sedikit perjalanan harian anak-anak di Rumah Anak Kesayangan. Beliau juga membangkitkan dua keperluan mendesak bagi Rumah tersebut iaitu keperluan kenderaan dan mesin basuh untuk kegunaan anak-anak di situ.

Haji Ibrahim kemudiannya menyerahkan sumbangan ahli BKKI kepada anak-anak yang menginap di Rumah tersebut serta kepada Haji Jaafar selaku pemilik Rumah Anak Kesayangan. En. Kamaruddan pula menyerahkan wang zakat yang diwakilkan kepadanya kepada Haji Jaafar. Ahli rombongan kemudiannya turut bergambar bersama anak-anak dan pihak pentadbir Rumah Anak Kesayangan.

Bagi yang bermurah hati untuk menghulurkan sumbangan, ia boleh disalurkan ke :

  Rumah As-Sakinah
Facebook :
Rumah Anak Yatim As-Sakinah
Rumah Anak Kesayangan
Blogspot : anakkesayangan.blogspot.com
Maybank 560148661433  -
Bank Muamalat 10010002273717  -
Bank Islam  - 10016010086274

Foto Lawatan

Laporan ini disediakan oleh En. Norzuhairil bin Zubir.

Written by : azlan0576