MAJLIS APRESIASI INOVASI LESTARI BUDI

MAJLIS APRESIASI INOVASI LESTARI BUDI
IPOH, 12 Disember 2023 - Telah berlangsung dengan meriahnya hari ini Majlis Apresiasi Inovasi Lestari Budi di perkarangan Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh bermula dari jam 10.45 pagi hingga 2.00 petang.
Majlis ini diadakan sebagai tanda kesyukuran bagi meraikan kemenangan Kumpulan EUREKA dari Cawangan Teknologi Berasaskan Batuan (CTBB) yang telah berjaya menjulang kejuaraan bagi Kategori Anugerah Inovasi Lestari Bumi Hijau melalui projek "Inovasi Teknologi Lestari Bumi Hijau Melalui Kitar Semula Sisa Kapur Karbida bagi Penghasilan PCC sebagai Pengisi dalam Pembuatan Cat" sekaligus dinobatkan sebagai JUARA KESELURUHAN bagi ANUGERAH INOVASI MENTERI BESAR PERAK (AIMB 2023) yang telah berlangsung pada 1 November 2023 di SUK Perak.
Sebagai tanda penghargaan dan ingatan, majlis ini juga diadakan bagi meraikan kakitangan PPM yang telah bersara dan berpindah ke tempat baharu.
Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan di Pusat Penyelidikan Mineral.
Majlis yang bertemakan "Kenduri Kampung" ini telah dimeriahkan dengan pelbagai juadah yang menyelerakan dan disajikan di warung-warung hiasan kampung.
Majlis telah diserikan dengan sesi pemotongan kek beramai-ramai oleh tetamu yang diraikan. Selain itu kenduri kampung ini juga turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah bagi Pemenang Pakaian Kampung Terbaik hasil undian tetamu yang hadir.
Sekalung penghargaan kepada semua pihak yang sama-sama menjayakan majlis ini daripada awal hingga akhir. Semoga PPM terus maju jaya dan gemilang di masa hadapan.