Majlis Perhimpunan Bulanan NRE Bersama YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar telah diadakan pada 19 Februari 2013 di Dewan Baiduri, KSAAS Putrajaya. Pusat Penyelidikan Mineral telah diberi penghormatan dan dijemput sebagai tetamu khas dalam perhimpunan ini. Antara aturcara majlis tersebut ialah :
- Pelancaran Jurnal Sumber Air dan tayangan video
- Montaj dan gimik pelancaran sistem eBMGPermit (pengeluaran AP dalam 1 hari)
- Tayangan Video Pembuatan Produk Silika
- Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Kumpulan Penghasilan Produk Silika, Pusat Penyelidikan Mineral.
- Penyampaian cenderahati berbentuk produk silika kepada YB Timbalan Menteri dan YBhg Dato Seri Ketua Setiausaha oleh Pusat Penyelidikan Mineral.
http://blog.jmg.gov.my/majlis-perhimpunan-bulanan-nre#sigProIdf7237b5771
Antara Petikan ucapan Timbalan Menteri :
“Pada hari ini Kementerian akan turut memberi penghargaan kepada pegawai-pegawai daripada Pusat Penyelidikan Mineral Ipoh (PPM) yang telah menjalankan penyelidikan terhadap pasir silika sehingga dapat menghasilkan produk-produk daripada pasir silika. Pasukan yang terlibat dalam penghasilan produk silika adalah satu kumpulan pekerja yang unik dan telah berjaya memahirkan diri sebagai ‘glass blowers’. Tugas ini memerlukan dedikasi, kesabaran, dan tenaga. Ia juga bukan merupakan tugas yang mudah kerana mereka perlu bekerja dalam persekitaran yang tidak kondusif di mana suhu yang digunakan bagi peleburan kaca kristal boleh mencecah sehingga 1400°C.
NRE amat berbangga kerana produk kaca kristal yang dihasilkan dengan menggunakan sumber pasir silika tempatan oleh pegawai-pegawai PPM ini adalah setanding dengan produk import yang berada di pasaran tempatan. Oleh hal demikian, NRE menyokong penuh dan melihat bahawa R&D yang dijalankan oleh PPM dalam memajukan industri mineral tempatan adalah sangat berjaya. Diharapkan PPM dengan sokongan NRE dapat memasarkan hasil R&D ini kepada pihak industri kecil dan sederhana. Saya mengucapkan syabas atas usaha gigih pegawai-pegawai ini dan berharap mereka akan menurunkan ilmu ini kepada pegawai lain atau sesiapa yang berminat agar penghasilan produk-produk pasir silika akan menjadi satu perniagaan yang komersial dan menguntungkan”.