KOTA MARUDU, SABAH (19 MAC 2018) : ISNIN, Unit Perkhidmatan Makmal Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Sabah telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Migrasi MS ISO/IEC 17025:2017 bertempat di GL Hotel, Kota Marudu.
Pengisian program bermula dengan taklimat bertajuk “ISO/IEC 17025:2017 Proses Migrasi dan Perubahan Utama” yang telah disampaikan oleh En. Khairun Nasir Bin Moktar. Taklimat tersebut menyentuh isu berkaitan proses dan langkah yang perlu diambil oleh Makmal Sabah dalam melaksanakan perubahan ke arah MS ISO/IEC 17025:2017. Proses migrasi tersebut bermula pada 1 Januari 2018 dan semua makmal yang telah diakreditasi perlu mematuhi persijilan tersebut sebelum 30 November 2020.
Selepas itu Mesyuarat Penyelarasan Migrasi MS ISO/IEC 17025:2017 berlangsung dipengerusikan oleh Tn. Haji Abdul Kadir Bin Ahmad selaku Ketua Unit Perkhidmatan Makmal. Antara perkara yang dibincangkan termasuklah tugas-tugas yang akan dilaksanakan dalam menjayakan proses migrasi tersebut yang akan diketuai oleh En. Morius Bin Bantas selaku Pengurus Kualiti dan Pengurus Teknikal. Kemudian program diteruskan lagi dengan Mesyuarat Persediaan Audit Dalaman Bil.1/2018 MS ISO/IEC 17025:2005 yang akan dijalankan pada 27 hingga 28 Mac 2018.
Pada 20 Mac 2018 pula kakitangan Unit Perkhidmatan Makmal turut sama menghadiri Majlis Perasmian Telaga Tiub di Kg. Tangkol, Kota Marudu yang bermula pada jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari. Semoga lawatan ini dapat memberi manfaat kepada kakitangan makmal secara langsung bagaimana kepentingan analisis kimia dalam menentukan kualiti air bersih untuk kegunaan orang awam.