Pakar Geologi, Geosains Sertai DELSEA II

Kuala Terengganu:   Seramai 50 peserta terdiri daripada saintis muda, pakar geologi dan pensyarah bidang geosains menyertai kursus jangka pendek Geologi dan Pengurusan Pantai (DelSEA II) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Kursus selama tiga hari itu dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras Geosains Timur dan Asia Tenggara (CCOP), Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia (JMG) serta Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT.

Peserta Luar Negara
Ketua Pengarah JMG, Datuk Yunus Abdul Razak berkata, kursus itu membabitkan penyertaan ahli geologi dari 13 negara anggota CCOP, termasuk Jepun, China, Indonesia, Timur Laste, Thailand dan Singapura.
      Beliau berkata, melalui Del SEA II, peserta akan mendapat pendedahan luas berkaitan teknik persampelan kauternier, yang dikendalikan Penyelidik Kanan Utama Kajian Geologi Jepun, Dr. Yoshiko Saito.
      “Kursus ini adalah lanjutan daripada DelSEA I, yang diadakan selama empat kali bermula 2005 di Vietnam. Kejayaan DelSEA I membawa kepada DelSEA II, yang mendapat pembiayaan Institut Kebangsaan Sains Industri Lanjutan Jepun (AIST)”.
      “Kursus ini sepatutnya diadakan lima tahun lalu, tetapi disebabkan beberapa bencana alam yang melanda Jepun seperti tsunami dan gempa bumi, ia terpaksa ditangguhkan dan akhirnya dapat dilaksanakan hari ini,” katanya ketika berucap merasmikan DelSEA II di INOS, UMT.
      Hadir sama, Urus Setia Teknikal CCOP, Dr. Nguyen Thi Minh Ngoc dan Pengarah INOS UMT, Prof. Dr. Mohd Lokman Husain.

Gerudi Dapatkan Sampel
Yunus berkata, bagi memenuhi keperluan kursus itu, pihaknya menjalankan kerja penggerudian di kawasan Setiu dan Kelantan bagi mendapatkan sampel untuk keperluan kajian.
      Selain itu, antara inti pati kursus berkenaan adalah membincangkan beberapa kertas kerja berkaitan isu perubahan paras laut dan persampelan geologi.
      “Kursus ini membolehkan peserta memahami dengan lebih mendalam berhubung isu dan masalah persekitaran pada hari ini,” katanya.

Written by : zahar