PROGRAM ZIARAH KASIH ANJURAN KELAB SUKAN KEBAJIKAN KAKITANGAN (KSKK) JMG JOHOR

PROGRAM ZIARAH KASIH ANJURAN KELAB SUKAN KEBAJIKAN KAKITANGAN (KSKK) JMG JOHOR

Johor Bahru, 14 Mac 2025 - Program Ziarah Kasih yang dianjurkan oleh KSKK JMG Johor merupakan satu usaha murni dalam menunjukkan keprihatinan terhadap warga JMG Johor dan bekas warga jabatan yang sedang menghadapi ujian dalam kehidupan. Lawatan ini diketuai oleh Pengerusi, Tuan Haji Noorazhar Ngatimin bersama beberapa ahli KSKK JMG Johor yang lain. Pertama, lawatan ke rumah keluarga Allahyarhamah Norfazelah binti Hassan yang telah kembali ke rahmatullah pada 10 Februari 2025. Allahyarhamah pernah berkhidmat sebagai Pembantu Tadbir di JMG Johor dan telah banyak berjasa kepada jabatan. Semoga keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini. Seluruh warga JMG Johor turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Seterusnya, kunjungan juga dilakukan ke atas En. Mohamad Saufee, yang sedang mengalami masalah kesihatan dan menerima rawatan susulan di hospital. Mendoakan En. Saufee dikurniakan aafiyah serta boleh kembali bekerja bersama. Doa kami sentiasa mengiringi. Program ini juga mengambil kesempatan untuk menziarahi Puan Izza Shuhada, yang baru sahaja menimang cahaya mata. Kelahiran seorang anak adalah satu anugerah yang sangat bermakna, dan lawatan ini bertujuan untuk mengucapkan tahniah serta mendoakan kesihatan yang baik buat ibu dan bayinya.

Puan Nur Asnida binti Zamru - Selain itu, kunjungan dilakukan ke atas Puan Nur Asnida, yang baru sahaja menjalani pembedahan di hospital. Dalam situasi sebegini, kehadiran rakan-rakan sekerja amat bermakna untuk memberikan semangat dan dorongan kepada beliau dalam proses pemulihan. Semoga beliau diberikan kesembuhan sepenuhnya dan dipermudahkan segala urusannya. Program Ziarah Kasih ini bertujuan untuk bertanya khabar, memberi sokongan moral, serta mengukuhkan ukhuwah antara warga JMG Johor. Selain itu, sumbangan yang diberikan diharapkan dapat membantu meringankan beban mereka yang sedang menghadapi kesulitan. Inisiatif sebegini amat bertepatan dengan semangat Ramadan, yang menggalakkan keprihatinan dan kebersamaan dalam masyarakat. Semoga usaha ini dapat diteruskan pada masa hadapan, bukan sahaja sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang pernah berkhidmat di JMG Johor, tetapi juga sebagai satu bentuk kebajikan yang membawa keberkatan kepada semua.

Sumbangan artikel : FB jmgjohor

Written by : asrul