
KLANG, 13 Mac 2025: Unit Geologi Marin, Bahagian Perkhidmatan Teknikal (BPT), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), bersama Pusat Hidrografi Nasional (PHN) telah mengadakan sesi perbincangan bagi memperkukuh kerjasama dalam perkongsian data HydroSpatial.
Lawatan ini dimulakan dengan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah Pusat Hidrografi Nasional (PHN), Laksamana Muda Dato' Hanafiah bin Hassan. Delegasi JMG diketuai oleh Pengarah Perkhidmatan Geosains BPT, En. Ahmad Zulkifli bin Kamaruzaman bersama ketua serta pegawai-pegawai Unit Geologi Marin.
Sesi perbincangan ini telah dipengerusikan oleh Pengarah Geospatial PHN, Kdr Ts. GS. Mohd Shukri bin Mohd Yusop TLDM. Sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab sebagai penjaga “Custodian” data sedimen marin bawah laut di bawah Jawatankuasa Teknikal Marin MyGDI (JTMM), JMG memainkan peranan penting dalam usaha penyelarasan data bersama PHN. Sejajar dengan perkembangan semasa, peranan ini perlu diperkukuh bagi memastikan pengurusan dan penggunaan data yang lebih efisien serta selaras dengan keperluan semasa.
Hasil daripada mesyuarat bersama JTMM sebelum ini, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelaraskan bidang kepakaran masing-masing bagi meningkatkan ketepatan data backscatter dalam mengenal pasti jenis sedimen dasar laut di perairan Malaysia. Langkah ini juga bertujuan untuk memperkukuh perkongsian data bagi manfaat kegunaan awam dan ketenteraan.
Selain itu, sesi perbincangan ini turut bersetuju untuk melibatkan institusi pengajian tinggi yang berkaitan dalam membantu dan menyokong kerja-kerja interpretasi dan analisis data backscatter bagi tujuan klasifikasi sedimen dasar laut.
Usaha ini diharapkan dapat menyokong keperluan ketenteraan, navigasi, keselamatan maritim, serta pembangunan sumber geologi dan marin negara.