Siasatan Keretakan Jubin Di Bangunan Kementerian Dalam Negeri

Kementerian Kerja Raya akan mendapatkan laporan penuh berhubung kejadian retakan dinding dan rekahan jubin lantai sebuah dewan makan di tingkat empat Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh, di sini, kelmarin.

Menterinya Datuk Fadillah Yusof, berkata laporan itu bukan hanya tertumpu kepada bahagian yang mengalami kerosakan saja sebaliknya membabitkan keseluruhan bangunan.

Beliau berkata, ia turut mengambil kira beberapa aspek utama iaitu punca keretakan dan status kejadian sama ada boleh menggugat keselamatan orang ramai atau sebaliknya.

“Kita akan mengenal pasti punca sebenar kejadian sebelum mempertimbangkan untuk menghantar sepasukan pakar dari Jabatan Kerja Raya (JKR) pusat jika mendapati kerosakan di bangunan terbabit serius dan membahayakan umum,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di lokasi mendapati sekumpulan kakitangan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia cawangan Melaka dan Negeri Sembilan turut melakukan pemeriksaan di dalam dewan berkenaan semalam.

Kelmarin, lebih 300 kakitangan dan orang awam di Kompleks KDN panik apabila diarah keluar bagi mengosongkan bangunan itu secara tiba-tiba, berikutan jubin lantai dewan makan di tingkat empat bangunan itu merekah dan tercabut, selain kesan retakan pada bahagian dinding bangunan.

Kompleks berkenaan dibuka sejak 2006.

Sumber: http://www.hmetro.com.my

Written by : norhayati_mr