Telaga Tiub Tangani Masalah Air Bersih Pedalaman Sabah

KENINGAU: Projek Telaga Tiub, yang diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, bakal menjadi sandaran baharu bagi menangani masalah bekalan air bersih khususnya di kawasan pedalaman Sabah.

Timbalan Menterinya Tan Sri Joseph Kurup berkata ini terbukti dengan kejayaan projek terbaru kementerian di Kampung Biah Skim 1, kira-kira 15 kilometer dari sini.

Katanya telaga tiub di Biah Skim 1 yang mempunyai penduduk seramai 1,200 itu mampu menyalurkan sebanyak 330,000 liter sehari yang boleh menampung keperluan sehingga 4,000 orang sehari.

Berucap pada majlis penyerahan Telaga Tiub Biah Skim 1 hari ini, Kurup yang juga anggota Parlimen Pensiangan berkata projek seumpama itu diharap dapat menangani masalah air khususnya di kawasan pedalaman.

Turut hadir pada majlis itu ialah Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sook Datuk Ellron Angin.

Kurup berkata beberapa daerah di Sabah termasuk Semporna, Sipitang, Pitas, (Balambangan) Pulau Banggi, Keningau, Lahad Datu dan Tawau telah dinilai untuk mendapatkan maklumat awal berkaitan potensi, kuantiti dan kualiti air yang boleh diperoleh di kawasan berkenaan di bawah projek Kajian Sumber Air Bawah Tanah oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Bagi Keningau, beliau berkata kajian sumber air bawah tanah dimulakan sejak tahun 2007 dengan penggerudian di lokasi seperti SK Apin Apin, SMK Apin Apin, SK Bunga Raya, SK Kg Baru, SK Ulu Liawan, SK Magatang, PLD Keningau, SK Biah, Kampung Biah Skim 1, Kg Binuwou Tengah, Kg Singgahmata dan Kg Kuala Punteh.

Beliau berkata, hasilnya sebanyak lapan telaga dibangunkan yang memberi manfaat kepada sekitar 3,100 orang penduduk setempat.

Kurup berkata, bagi kawasan DUN Sook, tiga telaga telah dibangunkan yang kini telah digunakan oleh masyarakat setempat sebagai alternatif sumber bekalan air bersih iaitu di Kampung Singgahmata, Kuala Punteh dan Kg Biah Skim 1.

Katanya telaga itu dilengkapi dengan kemudahan tangki, pam, sistem penapis dan sistem perpaipan yang berharga RM241,000.

“Kemudahan ini berpanjangan jika dijaga dengan baik dan saya memuji usaha kampung yang menubuhkan jawatankuasa bagi menjaga kemudahan tersebut. Kemudahan ini boleh dijadikan sebagai punca air simpanan di masa akan datang apabila bekalan air paip dari Jabatan Air disalurkan ke kawasan berkenaan,” katanya. — Bernama

Sumber: http://www.theborneopost.com

Written by : azlan0576