PETAGAS, SABAH (21 JANUARI 2018) : AHAD, 7.30 pagi. Satu Upacara Memperingati Mangsa-Mangsa Perang di Tugu Peringatan Petagas telah berlangsung bagi menghargai pengorbanan, keberanian dan kesetiaan para pahlawan kita ketika berjuang untuk mempertahankan kedaulatan tanah air yang tercinta.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan selaku wakil kepada YAB Ketua Menteri Sabah menjadi tetamu kehormat pada majlis ini. YB Datuk Hjh. Zainab binti DSP Hj. Ahmad Ayib (Menteri Pembangunan Masyarakat & Hal Ehwal Pengguna Sabah, YB Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan Ketua Pengarah DBKK, antara yang hadir selain Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Upacara yang berlangsung selama lebih kurang dua jam ini, menyaksikan upacara tabik hormat dan istiadat meletakkan karangan bunga di Tugu Peringatan.
Kakitangan JMG Sabah turut menerima jemputan untuk hadir ke upacara ini, di antaranya ialah Tuan Mohd Yusop bin Ramli (Pengarah JMG Sabah), Encik Paulus Godwin (KUGS), Encik Eddie Affandy bin Mohd Yuslee (KUPM), Dr. Frederik F. Tating (KAGK), Puan Jenneth Cyril (KA-MBL), Encik Morius Bantas (KA-EG), Puan Besty J. Adim (Pen. Juruukur), Puan Carrie Joe (Setiausaha Pejabat) dan Encik Mohd Azrol bin Mohd Hanaffi (Pemb. Operasi/Pemandu).
RIWAYAT HIDUP ANGGOTA-ANGGOTA PASUKAN GERILA KINABALU YANG DIBUNUH BERAMAI-RAMAI DI PETAGAS PADA 21 JANUARI 1944
“DEMI CINTA MEREKA PADA TANAH AIR, MEREKA KORBANKAN JIWA RAGA MEREKA DENGAN GAGAH BERANI”. (J.P.)
Negeri Sabah (ketika itu Borneo Utara) jatuh ke tangan tentera Jepun pada Januari 1942. Albert Kwok dengan pengikut-pengikutnya seramai kira-kira 300 orang yang terdiri daripada pemuda-pemudi pelbagai kaum di negeri ini menubuhkan pasukan gerila yang mereka namakan Gerila Kinabalu.
Kwok dibantu oleh Kong Su Pui dan Lim Leng Fatt sebagai penasihat. Markas rahsia mereka terletak di sebuah lading kepunyaan Liew Loi Kui di Mansiang dekat Manggatal. Albert Kwok telah pergi ke Tawi-Tawi di Selatan Filipina untuk mendapatkan bantuan daripada pasukan Tentera Amerika Syarikat di situ.
Pada bulan September 1943, pasukan Gerila Kinabalu mendapat makluman bahawa, tentera-tentera Jepun mahu mengerahkan kira-kira 2,000 orang belia Sabah menjadi tentera di garisan depan pertempuran di Asia Tenggara. Kwok cuba menghalang rancangan ini. Ia mengatur strategi dan melancarkan satu pemberontakan pada 9 Oktober 1943.
Ibu Pejabat Polis Tentera Jepun di Kota Kinabalu (ketika itu Jesselton) dan beberapa buah depot telah dibakar. Beberapa orang tentera telah dibunuh oleh pasukan gerila yang hanya bersenjatakan parang. Pemberontakan kilat ini telah menggagalkan cita-cita Jepun untuk mengerahkan pemaksaan kepada belia-belia Sabah untuk menjadi tentera yang bekerja kepada Jepun.
Pasukan Jepun dari daerah-daerah lain di Sabah membuat serangan balas. Operasi “Suci-piring” dilancarkan. Pasukan gerila menjadi kucar-kacir. Mereka berundur ke dalam hutan dan kawasan bukit di daerah Manggatal. Bekalan dan bantuan tidak diperoleh.
Dalam masa dua bulan sahaja kebanyakan pasukan gerila telah menyerah diri kepada pihak Jepun akibat ancaman pihak tentera bahawa semua wanita dan kanak-kanak akan dibunuh.
Pada 21 Januari 1944, seramai 176 orang anggota gerila yang dikurung di penjara “Batu Tiga” diangkut ke Petagas. Di situ mereka dibunuh beramai-ramai. Sebelum itu seramai 96 orang lagi telah diseksa dan dibunuh di penjara itu. 131 orang yang dianggap sebagai penyokong pasukan gerila itu telah dihantar ke Labuan untuk dipenjara. 117 orang daripadanya telah mati kerana diseksa, penyakit, kekurangan makanan dan layanan yang tidak berperikemanusiaan. Yang lain dipercayai telah dibunuh dan dikuburkan di beberapa tempat.
Setelah peperangan tamat, sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk oleh beberapa orang saki-baki pasukan gerila tersebut yang masih hidup. Mereka telah memutuskan supaya semua mangsa pembunuhan beramai-ramai itu dikebumikan pada satu tanah perkuburan sahaja, termasuk yang maut di Labuan. Tanah lapang tempat pembunuhan berama-ramai di Petagas telah dipilih menjadi sebagai kawasan perkuburan bagi mangsa-mangsa itu. Tanah perkuburan itu dikenali sebagai “Taman Mangsa-Mangsa Perang Petagas”. Nama-nama mangsa pembunuhan itu telah diabadikan pada tugu di taman itu sebagai mengenangkan jasa bakti dan keberanian mereka mempertahankan kedaulatan negeri ini dari penjajahan Jepun. Setiap tahun upacara sembahyang secara rasmi diadakan oleh semua kaum pada 21 Januari bagi mendoakan kesejahteraan roh para pejuang tersebut.
Batu Peringatan dan Taman Mangsa-Mangsa Perang itu telah diperindahkan lagi oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (Majlis Perbandaran Kota Kinabalu) pada tahun 1979 dengan bantuan kewangan dari Kerajaan Negeri. Kenangan ini ditulis dari maklumat yang diberi oleh saki-baki mangsa kekejaman dan kesengsaraan itu sendiri dan juga dari anak-anak pahlawan yang telah gugur itu.
Bahan dipetik dari Buku Atur Cara Ucapcara Memperingati Mangsa-Mangsa Perang Di Petagas Pada 21 Januari 2018.