Majlis Perasmian Dan Majlis Penyerahan Telaga Air Bawah Tanah Di Institut Pertanian Ayer Hitam (IPAH), Johor

Tanggal 20 September 2012 merupakan detik bersejarah berlangsungnya Majlis Perasmian dan Majlis Penyerahan Telaga Air Bawah Tanah di IPAH dari JMG Johor kepada IPAH yang pelaksanaannya telah disempurnakan oleh Y.B. Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Majlis ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran pegawai kanan kementerian, ketua-ketua jabatan dari agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Negeri Johor serta Jabatan Pertanian dan termasuk para pelatih sekitar 185 orang.

Secara dasarnya, dua (2) tujuan utama projek pembinaan telaga air bawah tanah oleh JMG adalah untuk membekalkan air bersih ke kawasan penempatan penduduk bermasalah air dan membantu membasah atau menenggelamkan kawasan gambut bagi menangani masalah kebakaran gambut.

Namun pada masa ini telah terdapat permintaan bagi pembinaan telaga air bawah tanah bagi tujuan pertanian dan pembinaan telaga di Institut Pertanian Ayer Hitam (IPAH) Johor adalah di antaranya. Air telaga di IPAH ini digunakan secara optimum bagi membekalkan air siraman ke tapak-tapak semaian dan pertanian, malah turut digunakan sebagai air bersih kepada pelatih-pelatih yang mengikuti kursus di sini. Air telaga ini telah berjaya menyelesaikan masalah air yang dihadapi oleh pihak IPAH bagi projek komersial Projek Taman Kekal Pengeluaran Tanaman (TKPM) dan seterusnya meningkatkan pengeluaran jumlah tanaman yang diusahakan. Dengan adanya air telaga ini juga, pihak IPAH berjaya mengurangkan kos bil air sekitar RM3,000 sebulan. Tanaman utama yang ditanam ialah tomato ceri, melon, cili dan terung. Manakala tanaman lain seperti petola, bendi dan timun juga ditanam sebagai kitaran tanaman (crop rotation) bagi tujuan kawalan perosak/penyakit.

 

 

Written by : liyana