Program Taklimat Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan telah diadakan di Bilik Gipsum, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Pahang. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Vendor SPPA dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia. Program diadakan bagi menerangkan berkenaan carakerja pengambilan pekerja asing dan penggunaan SPPA yang berfungsi secara online.
Program taklimat ini telah dihadiri oleh seramai kira-kira 75 peserta dari wakil industri dan syarikat berkaitan perlombongan dan pengkuarian dari Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan. Pengarah JMG Pahang, YH Dato' Ir Azman bin Ab. Majid telah turut hadir sepanjang program ini berlangsung.
Program taklimat ini dimulakan pada pukul 9.00 pagi dengan taklimat dari En. Juna Azleen selaku penganjur dari JMG Malaysia. Beliau telah memyampaikan taklimat berkenaan SPPA, keperluan dan fungsi JMG Malaysia dalam SPPA secara am. Majlis diteruskan dengan sesi taklimat dari En. Yushairi dari Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia. Penerangan diberikan mengenai Peraturan-peraturan Perburuhan yang berkuatkuasa mengenai penggajian pekerja asing dan keperluan dokumen asas dalam permohonan pekerja asing serta keperluan semasa temuduga. Selanjutnya En Zulhairi dari Jabatan Imigresen Malaysia menyampaikan taklimat jabatan beliau, antaranya berkaitan Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (Rehiring), proses permohonan kemasukan pekerja asing (VDR/PLKS) serta peraturan imigresen berkaitan pekerja asing.
Program berhenti rehat pada pukul 10.45 pagi sebelum taklimat disambung oleh pihak syarikat vendor sistem yang mengendalikan SPPA iaitu Cik Habibah. Beliau telah memberikan taklimat berkaitan sistem online SPPA, termasuk sistem pendaftaran borang, pengisian borang, penghantaran online dan carakerja serta proses yang terlibat sehingga peringkat kelulusan. Sesi hands-on SPPA secara online juga diberikan penerangan terperinci oleh beliau.
Program taklimat diteruskan dengan sesi soal jawab kepada para peserta berkaitan SPPA. Beberapa soalan, pertanyaan kemusykilan dan pandangan disuarakan oleh para peserta kepada pihak JMG, Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Imigresen serta Vendor SPPA. Program ini ditamatkan dan diselesaikan pada pukul 1.00 tengahari.
Diharapkan program taklimat ini telah memberikan maklumat berguna dan bermanfaat kepada para peserta dan hadirin wakil industri syarikat berkaitan perlombongan dan pengkuarian dari Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan. Pihak JMG Pahang selaku tuan rumah mengucapkan terima kasih atas segala kerjasama yang diberikan.
http://blog.jmg.gov.my/jmg-negeri-sembilan-melaka/2017-11-27-06-13-32#sigProId668eb1593e