Pusat Penyelidikan Mineral (PPM), Ipoh – 15 Disember 2018. Satu program pemantapan telah diadakan kepada semua pembantu penyelidik yang bertempat di Hotel Park Avenue, Sungai Petani, Kedah. Program yang berlangsung dari 7 hingga 10 Disember itu adalah bertujuan untuk memantapkan pengetahuan dan sebagai persediaan kepada para pembantu penyelidik yang baharu bagi menghadapi peperiksaan perkhidmatan pembantu penyelidik yang akan diadakan pada tahun hadapan.
Program tersebut dikendalikan oleh Pn Marlinda Binti Daud, Pegawai Penyelidik daripada Cawangan Pelaksana Pengkomersialan dan dibantu oleh beberapa orang urusetia sepanjang program berlangsung. Beberapa orang pegawai penyelidik juga telah ditugaskan untuk memberi syarahan mengenai pelbagai bidang mineral yang ada kaitan dengan tugas pembantu penyelidik. Beberapa orang penolong pegawai penyelidik juga turut hadir untuk sama-sama berkongsi ilmu dan pengalaman mereka kepada pembantu-pembantu penyelidik yang baharu dalam program ini.
Antara program yang dijalankan ialah ‘ice breaking’, slot kuliah, slot mentor-mentee, aktiviti kecergasan, slot pengucapan awam dan aktiviti AKRAB.
Pada 10 Disember, semua peserta yang terlibat dengan program tersebut berpeluang membuat lawatan sambil belajar ke Jerai Geopark dan mendaki Gunung Jerai, sebagai pendedahan terhadap geologi dan pembentukan batuan di sana . Di samping itu, mereka juga telah berkunjung ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang di Merbok. Taklimat geologi dan pembentukan batuan serta mineral disampaikan oleh En Aminudin Bin Mahmud, Timbalan Pengarah PPM, yang juga pakar dalam bidang geologi.
Program yang berakhir pada waktu petang itu nyata telah membantu para pembantu penyelidik yang baharu dalam mendalami skop kerja mereka dengan lebih terperinci serta memberi semangat kepada mereka untuk menjalani peperiksaan pada tahun hadapan.
PPM mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat kerana telah berjaya menjalani program tersebut dengan sempurna.
http://blog.jmg.gov.my/jmg-negeri-sembilan-melaka/2018-12-28-07-32-42#sigProIdc8cb693fbc