BPT Bakal Berubah Wajah

BPT Bakal Berubah Wajah

IPOH, 9 Disember 2014:  Tahun 2014 menyaksikan perubahan besar kepada 'wajah' Bahagian Perkhidmatan Teknikal. Perubahan ini melibatkan banyak pengubahsuaian bilik dan ruang daripada bentuk yang suram kepada keadaan yang lebih ceria.

Bermula pada pertengahan tahun ini, Cawangan Perkhidmatan Makmal BPT telah mengubahsuai setor kuarternari untuk dijadikan bilik penyediaan sampel. Malah pada Pertandingan Inovasi 1NRE yang lalu, JMG telah mempertaruhkan inovasi ini sebagai wakil JMG di dalam pertandingan tersebut.

Di sebelah Makmal Perindustrian juga telah diubahsuai untuk dijadikan bilik-bilik penyimpanan sampel, bahan kimia dan kawasan sekitarnya dihiaskan dengan lantai batu berwarna, sebagai tempat jamuan santai.

Makmal Organik yang telah dirancang sudahpun diluluskan untuk pembinaan. Justeru itu, pengubahsuaian Makmal Fizikal dan Bilik IT lama telah dijalankan dan sekarang sedang di dalam proses memasang perabut dalaman. Makmal ini akan boleh digunakan pada tahun 2015.

Di bawah pengstrukturan baru jabatan, banyak pegawai-pegawai baru dan kumpulan pakar akan ditempatkan di BPT. Oleh itu banyak bilik-bilik khususnya di Blok Zamrud sendiri, telah dikosongkan untuk dijadikan pejabat pegawai-pegawai ini nanti. Lantai koridor, bilik air serta seluruh tangga bangunan telah dihias dengan jubin yang baru. Ini menambahkan seri bangunan ini. Laluan koridor dari Blok Zamrud ke kantin juga telah digantikan dengan batu berwarna.

Sesuatu yang amat menarik ialah pengubahsuaian Bilik Mesyuarat Topaz yang sekarang ini sedang dijalankan. Bilik mesyuarat ini dilengkapi dengan kemudahan mesyuarat yang lengkap dan terkini serta sebuah bilik jamuan disebelahnya.

Semoga dengan perubahan besar ini akan memberikan 'mood' baru yang lebih bersemangat untuk bekerja. Terima kasih kepada Bekas Pengarah BPT, Tn. Hj. Mior Sallehhuddin Mior Jadid sebagai peneraju BPT dan semua pegawai yang terlibat dalam melaksanakan 'perubahan wajah BPT' ini.

 

 

 

 

 

Written by : zahar