Pusat Penyelidikan Mineral (PPM), Ipoh – 6 Disember 2018. Sekalung tahniah diucapkan kepada PPM kerana telah berjaya menandatangani Kerjasama Pintar antara PMBK (Perbadanan Menteri Besar Kelantan) Az-Zahab Sdn Bhd dengan PPM, JMG pada 6 Disember 2018.
Majlis dihadiri oleh YB Dato’ Hj. Md Anizam bin Ab Rahman, Pengerusi PMBK Az-Zahab Sdn Bhd, selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, Tn Hj. Md. Muzayin bin Alimon, Pengarah PPM, Tn Hj. Abd Rashid bin Modh Yusoff, Pengarah Eksekutif PMBK Az-Zahab Sdn Bhd, merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMBK, serta En. Nik Mohd Alimin bin Nik Mohd Alwi, Pengurus Besar PMBK Az-Zahab Sdn Bhd serta pegawai-pegawai dari kedua-dua agensi yang terlibat. Majlis juga turut dihadiri oleh Yang Berbahagia, Dato’ Ir Ahmad Zukni bin Ahmad Khalil, Pengarah JMG Negeri Perak.
Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh En Aminudin Bin Mahmud, Timbalan Pengarah PPM sebagai tanda penghargaan kepada para hadirin. Kemudian, majlis disambung dengan sesi penerangan tentang Nota Kerjasama PINTAR ini oleh Dr. Ismail Bin Ibrahim, Ketua Cawangan Teknologi Berasaskan Lempung, yang juga seorang pakar dalam pemprosesan mineral. Majlis juga menjemput Pengerusi PMBK Az-Zahab Sdn Bhd untuk memberikan sedikit ucapan tentang kerjasama PINTAR tersebut.
Majlis diteruskan dengan acara kemuncak, iaitu acara menandatangani Nota Kerjasama PINTAR antara PPM, JMG dan PMBK Az-Zahab Sdn Bhd. Upacara yang bersejarah itu turut disaksikan oleh Pengarah JMG Negeri Perak serta Pengarah PPM, JMG. Tepukan gemuruh diberikan setelah upacara itu selesai. Pertukaran cenderahati juga turut diadakan sebagai tanda penghargaan buat kedua-dua pihak.
Setelah itu, PPM menjemput para tetamu yang hadir untuk bersama-sama melawat Galeri PPM dan seterusnya ke beberapa buah makmal penyelidikan mineral yang ada di PPM.
Melalui Nota Kerjasama Pintar yang telah termeterai, PPM, JMG dan PMBK Az-Zahab Sdn Bhd berharap agar segala perancangan yang telah dibuat dengan rapi berjaya dijalankan dengan sempurna, dan seterusnya memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
http://blog.jmg.gov.my/jmg-negeri-sembilan-melaka/kerjasama-pintar-antara-ppm,-jmg-dengan-pmbk-az-zahab-sdn-bhd-2#sigProId50a74e5b97