Lawatan PTG Terengganu ke PPM dan JMG Negeri Perak

Lawatan PTG Terengganu ke PPM dan JMG Negeri Perak

Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh – 25 Mac 2019. Pejabat Tanah dan Galian Negeri Terengganu (PTG) telah mengadakan satu sesi lawatan kerja ke PPM yang diwakili oleh Pengarah PTG serta rombongan. Ketibaan mereka seawal jam 9 pagi tersebut telah disambut oleh En. Aminudin Bin Mahmud, Timbalan Pengarah PPM dan seterusnya dijemput ke taklimat lawatan kerja di Bilik Mesyuarat Pengarah. Taklimat tersebut juga telah dihadiri oleh beberapa orang Ketua Cawangan daripada PPM.

Setelah selesai sesi minum pagi, lawatan diteruskan ke Galeri PPM untuk memberi pencerahan serta penerangan dengan lebih mendalam kepada para pelawat PTG. Para ahli jawatankuasa Galeri PPM yang diketuai oleh Dr. Ismail Bin Ibrahim telah menjalankan tugas dengan baik dalam menyambut ketibaan mereka serta memberi sedikit sebanyak penerangan berkaitan kerja-kerja penyelidikan PPM yang dipaparkan di dalam galeri tersebut.

Para pelawat PTG kemudiannya meneruskan lawatan ke Makmal Cawangan Teknologi Berasaskan Silika (CTBS) untuk melihat sendiri proses penghasilan kaca kristal. Lawatan selama 30 minit tersebut memberi pencerahan kepada mereka terhadap keistimewaan penghasilan kaca kristal yang menggunakan formulasi khas daripada PPM sendiri. Kejayaan ini membuktikan bahawa kerja-kerja penyelidikan PPM adalah berkualiti tinggi dan mempunyai nilai estetik.

Para pelawat PTG rata-ratanya berpuas hati serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada PPM atas sesi lawatan kerja yang amat menarik itu sebelum mereka meneruskan lawatan ke Muzium Geologi dan JMG Perak. Sebelum itu, mereka juga telah mengadakan sesi penukaran cenderahati antara PPM dan PTG sebagai tanda penghargaan. Tahniah diucapkan kepada warga PPM yang terlibat kerana telah menjayakan lawatan yang bermakna ini. Semoga kejayaan ini mampu memajukan PPM dengan lebih baik pada masa akan datang.

 

Written by : ezulia