Tangkak, 11 April 2018 - YB Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Dr. Haji Hamim bin Samuri telah merasmikan sistem telaga tiub air tanah ini dan menyerahkannya kepada pengurusan sekolah. Semoga dengan adanya sumber bekalan air dari telaga tiub air tanah ini dapat menyelesaikan masalah bekalan air bersih di sekolah, seterusnya memberikan suasana kondusif kepada proses pembelajaran di sekolah ini.
Sekolah Kebangsaan Puteri Ledang merupakan sebuah sekolah kerajaan yang terletak di Pekan Sagil dalam Daerah Tangkak. Mula ditubuhkan pada tahun 1951 dengan nama Sekolah Melayu Sagil Estet. Pada tahun 1970, kerajaan telah membina sebuah bangunan baru di atas tapak yang ada sekarang dan pada tahun 1993, nama sekolah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Puteri Ledang.
Warga sekolah adalah sekitar 100 orang termasuk guru, murid dan kakitangan. Namun isu bekalan air bersih masih membelenggu walau telah 48 tahun sekolah ini beroperasi di tapak yang ada pada hari ini. Masih menggunakan air yang mengalir dari pergunungan Gunung Ledang yang sentiasa terdedah kepada pencemaran khususnya ketika hari hujan. Keadaan ini sering mengganggu kehidupan warganya yang terpaksa membawa bekalan air dari rumah bagi keperluan mereka sepanjang sesi persekolahan. Walau pun sebuah telaga tiub telah dibina oleh Kementerian Pendidikan sekitar tahun 2011, namun ia telah terbengkalai bermula tahun 2013 hingga sekarang akibat tiadanya peruntukan untuk menyelenggara telaga tiub tersebut.
Inisiatif bagi menaik taraf telaga tiub tersebut tercetus apabila Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar meminta JMG untuk mengenalpasti masalah bekalan air bersih yang ada dalam kawasan Ledang. Atas keutamaan, SK Puteri Ledang telah dipilih untuk dinaik taraf telaga tiub sedia ada.
Bermula Februari 2018, kerja-kerja forensik telah dijalankan bagi mengenal pasti punca dan masalah telaga tiub tersebut. Hasilnya, telaga tiub yang telah using itu telah dicuci dan dibersihkan serta airnya diganti dengan yang baru. Seterusnya dibangunkan sebuah sistem telaga tiub yang baru yang sedia untuk digunakan.
Sumbangan artikel : Encik Noorazhar bin Ngatimin
http://blog.jmg.gov.my/jmg-negeri-sembilan-melaka/perasmian-sistem-telaga-tiub-air-tanah-sk-puteri-ledang-sagil,-tangkak,-johor#sigProId24234f878a