Pusat Penyelidikan Mineral (PPM), Ipoh – 12 November 2018. PPM sekali lagi telah mendapat jemputan untuk menyertai pameran sempena Institute of Quarrying Malaysia (IQM), Quarry Conference and Exhibition (IQM Conex 2018) pada 23 hingga 24 Oktober 2018 di Palm Garden Hotel, IOI Resort, Putrajaya. Seramai 9 orang warga PPM yang terdiri daripada para pegawai penyelidik, pembantu penyelidik, pelukis pelan, dan pembantu operasi telah ditugaskan untuk mengendalikan pameran tersebut yang diketuai oleh Pn. Marlinda Binti Daud , Pegawai Penyelidik Kanan, PPM.
Pameran bersempena IQM Conex telah dianjurkan pada setiap tahun dan PPM juga sentiasa menyertai pameran tersebut setiap kali ia diadakan. Tema yang dikemukakan bersempena dengan era sistem siber-fizikal ini adalah 'Digital Transformation Towards Quarrying Industry 4.0 (DTQI 2018)'. Transformasi digital ditakrifkan sebagai perubahan yang dikaitkan dengan penggunaan teknologi digital inovatif dan kreatif secara ekonomi dan praktikal dalam semua aspek iaitu proses pengeluaran industri kuari, pembuatan peralatan dan sokongan selepas jualan untuk meningkatkan kecekapan, produktiviti, keuntungan dan nilai yang dipertingkatkan kepada pelanggan masing-masing.
IQM Conex 2018 ini telah dirasmikan oleh YBM Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS).
Penyertaan pameran seperti ini telah menjadi salah satu platform terbaik untuk mempromosikan hasil kerja-kerja penyelidikan yang dijalankan oleh PPM agar dapat dikomersialkan kepada industri-industri luar selain membantu industri di Malaysia untuk berkembang dengan lebih maju.
Pameran tersebut telah berjalan dengan lancar serta mendapat sambutan yang amat menggalakkan. PPM mengucapkan tahniah kepada pasukan JK Pameran PPM kerana telah berjaya menguruskan pameran tersebut dengan baik.
http://blog.jmg.gov.my/jmg-negeri-sembilan-melaka/ppm-menyertai-pameran-iqm-conex-2018#sigProId766bce3a8c