Pada 24 hingga 27 Julai 2018, PPM telah mengadakan Program Pengkomersialan Penyelidikan Melalui Projek ATTD di Hotel Ancasa Royale, Pekan, Pahang dan Hotel Green Park, Temerloh, Pahang. Program ini dihadiri oleh Pengarah PPM, ketua-ketua cawangan dan kakitangan sokongan Cawangan Teknologi Berasaskan Batuan. Bilangan peserta adalah seramai 30 orang.
Pada 25 Julai 2018, sesi pembentangan dimulakan oleh Timbalan Pengarah PPM, En. Aminudin Bin Mahmud dengan kertas kerja bertajuk Pengkomersialan Produk R&D. Pembentang kedua, Cik Renuka a/p Arjunan dari Cawangan Pentadbiran dan Kewangan memberi penerangan mengenai Prosedur Kewangan ATTD.
Pembentangan seterusnya bertajuk TRL 2 : Concept validation CO2 mineralization technology oleh Pn. Siti Noorzidah dan pembentangan TRL 3 : Prototype testing for CO2 mineralization technology oleh En. Anuar bin Othman. Sesi petang diteruskan dengan pembentangan dari Dr. Rohaya binti Othman, Ketua Cawangan Teknologi Berasaskan Batuan mengenai Projek Penyelidikan Kertas.
Pada sesi malam pula peserta dibawa melawat ke kilang Eco Palm Paper Sdn. Bhd., Pekan, Pahang untuk taklimat dan pendedahan mengenai proses penghasilan kertas di kilang berkaitan.
Pada 26 Julai 2018 peserta program dibawa ke UiTM Jengka, untuk perbincangan dan lawatan di Fakulti Perhutanan, Kampus Khazanah Alam. Taklimat disampaikan oleh Dr. Nurul Husna Mohd Hasan, Ketua Fakulti Perkayuan, UiTM Jengka. Selepas sesi taklimat, para peserta didedahkan dengan cara pembuatan kertas berskala makmal di Makmal Pulpa dan Kertas. Pada sesi petang, para peserta dibawa ke Kem Sri Gading UiTM Jengka untuk melihat dengan lebih dekat diversiti flora yang terdapat di situ.
Program ini diakhiri dengan majlis penutup pada malam hari di Hotel Green Park, Temerloh, Pahang. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.
http://blog.jmg.gov.my/jmg-negeri-sembilan-melaka/program-pengkomersialan-penyelidikan-melalui-projek-attd#sigProId092530801f