SEMINAR SUMBER MINERAL TENAGA DAN PEMBANGUNAN MAMPAN DI SABAH

SEMINAR SUMBER MINERAL TENAGA DAN PEMBANGUNAN MAMPAN DI SABAH

KOTA KINABALU, SABAH (07 MAC 2019) KHAMIS, Satu seminar bertajuk “Seminar Sumber Tenaga Mineral dan Pembangunan Mampan di Sabah – Economic Empowerment for the State of Sabah Through Sustainable Management of Minerals Resources” telah diadakan pada hari ini di Ming Garden Hotel and Residences, Kota Kinabalu, Sabah.

Pelbagai agensi kerajaan telah dijemput hadir sama dalam menjayakan seminar ini.

Berikut merupakan ucapan perutusan daripada

Ketua Pengarah JMG Malaysia Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi : -

Penganjuran seminar yang julung kali diadakan ini, bertujuan untuk mengongsikan hasil kajian yang dibuat oleh kerajaan melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia, Sabah yang dulunya dikenali sebagai Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia dalam kerja-kerja penyiasatan dan penilaian sumber mineral khususnya sumber arang batu yang telah bermula sejak Pelan RMK4 (1981-1985) hingga kini.

Penganjuran seminar seperti ini, diharap akan meningkatkan kerjasama padu di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri, serta pihak pelabur untuk sama-sama berganding bahu bagi membangunkan sumber mineral yang ada khususnya arang batu untuk pembangunan sosio-ekonomi negara, khasnya Kerajaan Negeri Sabah melalui pembangunan sumber mineral yang efisien, bertanggungjawab dan mampan, di samping menggunakannya secara optima sejajar dengan objektif utama Dasar Mineral Negara 2.

Penganjuran seminar ini juga bertepatan dengan hasil kajian kewujudan beberapa sumber arang batu yang berpotensi untuk dibangunkan di Sabah. Saya juga difahamkan, seminar ini disertai oleh pemain industri arang batu daripada Sarawak iaitu Sarawak Energy Berhad (SEB) yang memegang saham sumber arang batu Sarawak, serta Sarawak Coal Resources (SCR) yang mengawal-selia aktiviti perlombongan arang batu di Sarawak. Kita berharap perkongsian mereka akan membantu kita memahami teknik-teknik dan kaedah terkini yang diamalkan dalam aktiviti perlombongan arang batu, tanpa mengabaikan kepentingan alam sekitar.

Akhir sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan tahniah kepada pihak penganjur, khususnya Pengarah JMG Sabah serta kakitangannya, yang telah bertungkus-lumus dalam menganjurkan seminar ini. Sekalung penghargaan juga kepada semua penceramah yang sudi meluangkan masa, tenaga dan mengongsikan kepakaran dan pengalaman dalam seminar ini. Terima kasih juga kepada semua peserta seminar khususnya wakil-wakil daripada Kerajaan Negeri Sabah, semoga kita sama-sama dapat manfaatkan maklumat yang diperolehi dan seterusnya mendapat manfaat daripada sumber mineral yang sedia ini.

Berikut merupakan kata ucapan perutusan daripada

Pengarah JMG Sabah En. Mohd. Yusop bin Ramli : -

Industri arang batu dan penjanaan tenaga menggunakan arang batu di Sabah adalah sifar. Pada masa yang sama kita menyedari bahawa kita memiliki rezab arang batu yang terbaik dan mungkin terbanyak. Pada masa yang sama juga, kita tercari-cari sumber ekonomi yang boleh memacu pembangunan fizikal Negeri Sabah.

Atas kesedaran ini, kami anjurkan seminar pada hari ini bagi berkongsi maklumat agar boleh menimbulkan kesedaran semua pihak. Kami, sebagaimana juga tuan-tuan amat perihatin mengenai impak yang akan dihadapi sekiranya kerja-kerja perlombongan dilakukan. Saya sangat berharap agar peluang ini digunakan sepenuhnya untuk merungkaikan segala permasalahan dan mencari jalan keluar yang menguntungkan semua pihak.

Di bahagian Kalimantan, arang batu telahpun diterokai manakala di Negeri Sarawak arang batu juga telah dimanfaatkan. Adakah kita bertindak bijak kerana tidak menerokai dan memanfaatkan sumber yang ada di Negeri Sabah?.

Kami sangat berbesar hati di atas kehadiran semua, khususnya pemain industri utama arang batu Negeri Sarawak kerana sudi menyahut pelawaan kami untuk memberi gambaran sebenar mengenai pengolahan sumber arang batu di Negeri Sarawak dari awal hingga ke tahap pemulihan kawasan lombong. Sangat besar Harapan kami agar Industri perlombongan arang batu di Negeri Sabah boleh digerakkan dan memperkukuhkan lagi tahap ekonomi dan kemajuan pembangunan fizikal Negeri Sabah. Seperkara lagi, boleh menambah jumlah bekalan eletrik Negeri Sabah.

Objektif

Objektif utama penganjuran seminar ini adalah:-

i. Berkongsi maklumat mengenai sumber dan kualiti arang batu di Sabah,
ii. Menerangkan kaedah dan teknologi perlombongan arang batu terkini,
iii. Penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar,
iv. Faedah-faedah penggunaan sumber arang batu.

Manfaat

Peserta seminar ini akan diberikan pendedahan mengenai maklumat terkini sumber dan kualiti arang batu yang ada di Negeri Sabah, kaedah-kaedah dan teknologi perlombongan terkini serta amalan terbaik dalam aktiviti ini dari jiran Negeri Sarawak dan meningkatkan lagi jalinan kerjasama yang erat antara agensi Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah. Seminar ini juga menyediakan ruang khas untuk mengutarakan sebarang pertanyaan berkaitan justeru meningkatkan lagi kerjasama padu di antara kerajaan negeri dan persekutuan untuk membangunkan sumber arang batu secara mapan untuk memenuhi keperluan ekonomi masyarakat tanpa menggadaikan keperntingan alam sekitar.

Sasaran Peserta

Seminar ini dikhususkan kepada agensi-agensi Kerajaan Negeri Sabah yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam perancangan dan pembangunan guna-tanah.

Jangkaan Dapatan Seminar

Peserta seminar akan mendapat maklumat asas mengenai potensi pembangunan sumber arang batu di Sabah, kaedah dan teknologi terkini perlombongan arang batu, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar serta faedah-faedah daripada aktiviti lombong arang batu.

Sumber Maklumat : En. Eddie Affandy bin Mohd Yusslee, Pn. Lena Anggie dan Pn. Besty Jenny Adim
Sumber Foto : En. Patrick Gindol dan Pn. Lena Anggie

Written by : Suriani Ramlee