Program Perhimpunan Bulanan JMG Pahang dan Majlis Perpindahan dan Pertukaran En. Wan Saifulbahri bin Wan Mohamad

Program Perhimpunan Bulanan JMG Pahang dan Majlis Perpindahan dan Pertukaran En. Wan Saifulbahri bin Wan Mohamad

Oleh : Mohammmad Aznawi b. Hj Mat Awan (KUPM JMG Pahang)

Pada 27 April 2018, bersamaan hari Jumaat, telah dilaksanakan Program Perhimpunan Bulanan Ketiga JMG Pahang bagi tahun 2018. Serentak dengan program tersebut, telah diadakan Majlis Perpindahan dan Pertukaran Timbalan Pengarah (Geosains) En. Wan Saifulbahri bin Wan Mohamad yang akan bertukar dan dinaikkan pangkat ke jawatan Pengarah Pengurusan Maklumat JMG Malaysia di JMG Ibu Pejabat, Putrajaya, berkuatkuasa 2 Mei 2018.

Aturcara program bermula pada pukul 9.15 pagi dengan semua kakitangan berkumpul di Bilik Ilmenite di tingkat bawah JMG Pahang. Perhimpunan bulanan kali ini di pengerusikan oleh Pn Rafidah bt Abu Bakar. Program dimulakan dengan bacaan doa oleh En Mohd Afiq Firdaus bin Azmat, nyanyian Lagu Negaraku, nyanyian Lagu Pahang serta Lagu JMG.

ws40001

ws50001

Majlis selanjutnya di teruskan dengan paparan tayangan video En. Wan Saifulbahri sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di JMG Pahang oleh Unit Pengurusan Maklumat JMG Pahang.

 

En. Wan Saifulbahri bin Wan Mohamad diilahirkan pada 10 Julai 1962 di Kelantan dan mula berkhidmat sebagai Pegawai Kajibumi di Jabatan Penyiasatan Kajibumi Sabah pada 1 Disember 1987. Beliau bertukar ke JMG Pahang pada 2005 dan menjawat jawatan sebagai Timb. Pengarah (Geosains) sebelum bertukar jawatan Timb. Pengarah (Sumber Mineral) pada 2012 juga di JMG Pahang. Beliau selanjutnya bertukar semula ke jawatan Timb. Pengarah (Geosains) JMG Pahang bermula 2014. Menjawat gred C54 (KUP) pada tarikh akhir pertukaran beliau di JMG Pahang, beliau merupakan seorang pegawai yang berdedikasi, tabah dan gigih serta rajin dalam bidang tugasan beliau, terutama tugasan berkaitan hidrogeologi.

En Zainal Abidin bin Jamaluddin selaku wakil dari Unit Geosains JMG Pahang kemudiannya menyampaikan ucapan salam hormat bagi majlis Perpindahan dan Pertukaran En Wan Saifulbahri sebagai ketua unit beliau . Antara lain, En Zainal menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kesemua kakitangan Unit Geosains kepada En Wan Saifulbahri atas komitmen dan perkhidmatan beliau selama ini.

Majlis selanjutnya diteruskan dengan ucapan En Wan Saifulbahri sebagai insan yang diraikan. En. Wan Saifulbahri mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan JMG Pahang atas kerjasama dan bantuan yang telah sama-sama diberikan sepanjang 13 tahun tempoh perkhidmatan beliau di JMG Pahang. Segala pahit manisakan dijadikan kenangan bersama. Beliau turut menyentuh tentang beberapa perkara yang beliau rasa perlu diteruskan di JMG Pahang selepas pemergian beliau ke JMG Ibu Pejabat.

ws10001

 

Program diteruskan dengan ucapan dan taklimat Pengarah JMG Pahang, Dato’ Ir Azman b. Ab. Majid. Beliau memulakan ucapan dengan menyampaikan salam hormat penghargaan dan terima kasih kepada semua kakitangan yang hadir walaupun dalam kesibukan tugas semasa semua kakitangan. Beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada En Wan Saifulbahri ke tempat baharu yang tentunya akan membawa seribu satu pengalaman baharu pada beliau. Beliau seterusnya menyampaikan beberapa amanat dan pesanan ringkas terbaharu berkaitan perkembangan semasa yang perlu diambil perhatian oleh kakitangan JMG Pahang, antara lain termasuk pengemaskinian data HRMIS dan Perisytiharan Harta.

 

Selesai ucapan Dato’ Pengarah JMG Pahang, program diteruskan dengan sesi percakapan dan taklimat perkongsian minda serta maklumat kakitangan JMG Pahang. Pada perhimpunan kali ini, En. Abdul Razak bin Zainal Abidin telah menyampaikan taklimat beliau berkaitan Geopark dan Geowarisan. Ini diikuti kemudiannya oleh sesi percakapan En. Mohd Afiq Firdaus bin Azmat yang menyampaikan tajuk berkenaan persiapan menghadapi Ramadhan. Kedua-dua sesi percakapan berkenaan nampaknya berjaya menambat hati dan minat semua kakitangan JMG Pahang yang hadir.

Program Perhimpunan Bulanan Ketiga JMG Pahang ini ditangguhkan dengan penyampaian cenderahati kepada pegawai yang diraikan, majlis sambutan hari kelahiran kakitangan yang lahir pada bulan April serta makan tengahari pada pukul 12.15 tengahari.

ws30001

Keseluruhan warga JMG Pahang dengan setinggi-tinggi penghargaan merakamkan ucapan terima kasih serta ucapan selamat maju jaya di tempat baharu kepada En. Wan Saifulbahri bin Wan Mohamad. Semoga Allah merahmati beliau dan dimurahkan rezeki sentiasa....Amin.

Semoga program yang dilaksanakan ini juga dapat sentiasa menambah baik kesepakatan, kerjasama dan silaturrahim yang erat antara kakitangan JMG Pahang dan terus menambahkan keceriaan tugasan kakitangan di pejabat secara khususnya.

Written by : aznawi