Lawatan ke BINA Paint Sdn. Bhd.

Lawatan ke BINA Paint Sdn. Bhd.
BANDAR BARU BANGI, 28 APRIL - Tiga pegawai penyelidik dari Cawangan Teknologi Berasaskan Batuan, Pusat Penyelidikan Mineral (CTBB-PPM), bersama tiga pelajar latihan industri, telah mengadakan lawatan ke BINA Paint Sdn Bhd di Bandar Baru Bangi, Selangor, hari ini.
Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai proses penghasilan cat menggunakan sintetik kalsium karbonat - Precipitated Calcium Carbonate (PCC) yang dihasilkan sendiri oleh CTBB-PPM. PCC merupakan partikel putih halus yang digunakan dalam industri cat sebagai pengisi, menggantikan sebahagian penggunaan titanium dioksida (TiO₂) yang lebih mahal. Kelebihan PCC termasuk meningkatkan kecerahan, ketahanan cuaca, dan kestabilan cat tanpa menjejaskan ketebalan atau ketahanan lapisan cat.
Para pelajar berpeluang melihat secara langsung proses penghasilan PCC dan berinteraksi dengan pakar yang terlibat dalam memberikan penerangan seperti Cik Nurul Raudhah Zaini binti Reamy, Ahli Kimia Eksekutif, Puan Ayda Fadhliah bt Abd Malik, Eksekutif Pembangunan Jenama, dan En. Asbullah bin Adam, Eksekutif Jualan bagi mengetahui dengan lebih mendalam proses yang terlibat dalam penghasilan cat. Selain itu, lawatan ini dapat memperkukuhkan hubungan antara penyelidikan dan aplikasi industri. Pihak CTBB-PPM berharap lawatan ini dapat meningkatkan pemahaman pelajar tentang aplikasi praktikal teknologi bahan dalam industri cat dan membuka peluang kerjasama lebih lanjut antara penyelidikan dan industri.