Pemadaman Tanah Gambut oleh JMG Kelantan

6 Mac 2014:  Jabatan Mineral Dan Geosains Kelantan telah dipanggil sekali lagi untuk membantu   Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kelantan bagi membekalkan air daripada telaga tiub dalam usaha memadamkan kebakaran tanah gambut di Kg. Kual, Bachok, Kelantan.

Musim kemarau yang berlaku sekarang telah menyebabkan kira-kira 20 ekar kawasan tanaman kampung dan hutan telah terbakar. Sementara air takungan seperti air parit, taliair dan telaga cetek telah mengalami kekeringan. Bahan gambut yang terdiri daripada enapan Kuaterner sangat mudah terbakar disebabkan faktor geologinya yang terdiri daripada endapan bahan karbon/organik yang terurai dan lembut serta masih belum mengalami proses pembatuan. Kebakaran tanah gambut biasanya sangat sukar dipadamkan disebabkan pembakarannya melalui lapisan bawah permukaan dan sukar dilihat di atas permukaan kecuali terdapat asap yang terlepas keluar melalui celah dan retakan tanah. Keadaan ini sangat merbahaya dan boleh merosakkan kawasan yang luas dan memakan masa untuk mengawal dan memadamkannya.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia cawangan Negeri Kelantan melalui Unit Geosains telah dipanggil untuk membantu   Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan untuk sama-sama bergandingan bagi melawan kebakaran di kawasan ini yang telah memusnahkan tanaman dan kebun serta  kediaman penduduk di sini. Kakitangan JMG yang terlibat hanya dengan membuat pangkalan sementara (bes kem) iaitu di  Kg. Kual Kecil.  Telaga yang digunakan adalah sedalam 59 meter bertempat di Kg. Kual Kecil, Gunong, Bachok, Kelantan. Pam yang digunakan adalah daripada jenis Submersible Borehole Pump SP30  yang dijanakan daripadaGEN SET: New 'DENYO' Soundproof Diesel Generator Set. Proses pengepaman dijalankan bermula pada 6 Mac hingga sekarang dan melibatkan luahan air sebanyak 42 hingga 70 m3/jam.

Pemantauan kes kebakaran kawasan gambut perlu ditingkatkan dan keperihatinan serta kesedaran penduduk di kawasan ini sangat diperlukan untuk tidak melakukan pembakaran terbuka. Sementara pengurusan tanah di kawasan ini dicadangkan menyediakan sistem perparitan berair jenis selari supaya kebakaran dapat dihad di dalam satu-satu kawasan kecil sahaja dan dapat mencegah secara lebih sistematik di masa akan datang. Sekian.

Written by : JMG Kelantan