PROGRAM EKSPLORASI GUA TEMPURUNG

PROGRAM EKSPLORASI GUA TEMPURUNG

11 Julai 2023 (Selasa) : Kelab Kebajikan dan Rekreasi (KKR), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Perak dengan kerjasama Geopark Lembah Kinta (GLK) telah mengadakan Program Eksplorasi Gua Tempurung. Gua Tempurung yang terletak di Gopeng, kira-kira 25 kilometer dari bandar raya Ipoh merupakan satu daripada destinasi pelancongan yang harus dikunjungi jika ke negeri Perak. Program ini ini dimulakan dengan Bacaan Doa yang dipimpin oleh En. Muhammad Hafizuddin Bin Mohd Hanafiah. Selepas itu, sesi bergambar peserta program bersama Pengarah JMG Perak, Dato’ Ahmad Zukni Bin Ahmad Khalil, TP Geosains En. Mat Niza Bin Abdul Rahman dan Pengerusi KKR, En. Mahat Bin Sibon.

Seramai 25 peserta yang terlibat dalam program ini dan melibatkan 5 buah kenderaan jabatan. Walaupun dalam keadaan hujan tetapi tidak melunturkan semangat semua peserta untuk meneruskan program ini. Bertolak dari JMG Perak pada jam 8.45 pagi dan tiba di Gua tempurung jam 9.20 pagi.

Pada jam 9.30 pagi, taklimat tentang Gua Tempurung dan berkaitan keselamatan telah disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Pusat Pelancongan Gua Tempurung, Datuk Abd Rahman Md Som. Terdapat empat jenis ekspedisi iaitu Golden Flowstone (tempat kering), Top Of The World (tempat kering), Top Of The World and Short River Adventure (kawasan basah) dan Grand Tour (kawasan basah). Ketinggian Gua Tempurung ialah 120 meter, manakala panjangnya dianggarkan 1.9 kilometer (km) dan ada sungai mengalir sejauh 1.6km di dalamnya dikenali sebagai Sungai Gua Tempurung. Ia mempunyai lima kubah besar yang dikenali sebagai Dewan Aliran Batu Emas (Golden Flowstone), Dewan Gergasi (Giant), Dewan Bijih Timah (Tin Mine), Dewan Alam (Universe) serta gabungan Dewan Pahlawan Tumpas (Fallen Warrior) dan Medan Perang (Battlefield).

Aktiviti eksplorasi bermula jam 10.00 pagi dan tamat pada jam 2.00 petang. Peserta yang mengikuti ekspedisi ini akan berpandukan renjer yang berpengalaman. Renjer ini sangat membantu para peserta dan memberi semangat kepada peserta untuk meneruskan eksplorasi. Kesemua peserta selamat dan berjaya menamatkan cabaran dengan jayanya. Tahniah diucapkan kepada semua peserta.

Written by : norhazliza