IPOH, 11 Disember 2024 - Cawangan Teknologi Berasaskan Lempung (CTBL), Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) telah menerima lawatan daripada 100 orang pelajar bersempena dengan Program Scitech4u STEM Camp MOSTI 2024.
Program ini merupakan anjuran bersama Persatuan Pengusaha Seramik Negeri Perak (PERSERA) dan SMK Raja Permaisuri Bainun dengan kerjasama Jabatan Mineral & Geosains Perak dan Politeknik Ungku Omar dan melibatkan 10 buah sekolah dari seluruh Negeri Perak.
Secara umumnya, Program STEM Camp MOSTI adalah inisiatif dengan objektif khusus untuk menarik minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Program ini bertujuan untuk memberi tumpuan kepada golongan pelajar bagi merasai dan melaksanakan pelbagai aktiviti interaktif, hands-on dan demonstrasi bertemakan STEM secara langsung daripada pakar dan pengamal dalam bidang STI.
Melalui program ini, pelajar dapat meningkatkan pengetahuan dan menambah baik kemahiran dalam bidang STI dan secara tidak langsung, program ini akan memberi informasi sains dan teknologi yang lebih luas kepada para pelajar.
Dalam lawatan ini, para pelajar telah diberi taklimat mengenai pembuatan seramik secara tradisional dan demonstrasi penghasilan produk seramik menggunakan mineral tempatan.
Semoga kunjungan lawatan ini dapat memberi input dan pengalaman yang berguna kepada para pelajar mengenai pembuatan seramik secara tradisional.