MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN PPM BIL. 5/2023

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN PPM BIL. 5/2023
Ipoh, 8 Disember - Majlis Perhimpunan Bulanan Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) Bil. 5/2023 telah diadakan pada hari ini.
Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku diikuti dengan Lagu kebesaran Negeri Perak dan Lagu Perkhidmatan Awam. Bacaan doa telah dipimpin oleh En. Ahmad Asyraf, lafaz ikrar oleh En. Muhammad Zarif dan penaik bendera oleh En. Nazri Ahmad.
Pengarah Kanan PPM, Yang Berusaha Dr Nazwin binti Ahmad telah menyampaikan ucapan beliau diikuti dengan tayangan montaj aktiviti R&D&C&I, disusuli dengan sesi penyampaian Anugerah Pekerja Contoh Suku 3/2023 dan penyampaian watikah kenaikan pangkat dan pemangkuan kakitangan PPM.
Dalam majlis yang sama telah diadakan penyampaian piala kepada pasukan Eureka yang telah berjaya merangkul Johan bagi kategori Anugerah Inovasi Lestari Bumi Hijau serta berjaya merangkul hadiah utama iaitu Anugerah Inovasi Menteri Besar. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Yang Berusaha Dr Nazwin binti Ahmad.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE JABATAN STANDARD MALAYSIA

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE JABATAN STANDARD MALAYSIA
CYBERJAYA, 7 DISEMBER - Pasukan Pensijilan dan Akreditasi PPM telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Jabatan Standard Malaysia (JSM) bagi memahami dan mempelajari berkaitan penyediaan standard, prosedur pensijilan dan akreditasi.
Delegasi dari PPM diketuai oleh Puan Marlinda Daud telah disambut oleh Encik Wan Rukiman Wan Mamat, Pengarah Akreditasi beserta para pegawai.
Diharapkan dengan lawatan ini, pasukan pensijilan dan akreditasi PPM dapat mengambil input semaksimumnya dan dapat diaplikasikan dalam penyediaan dokumen pensijilan mineral nanti.

AUDIT PENGAWASAN MS ISO 9001:2015

 AUDIT PENGAWASAN MS ISO 9001:2015
Sekalung tahniah diucapkan kepada Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) atas kejayaan melepasi audit pengawasan (Surveillance Audit) yang telah dijalankan pada 27 November 2023 oleh auditor dari SIRIM QAS International Sdn. Bhd., Puan Meena a/p Ragawan dan Encik Muhammad Fadhlullah bin Rahmat.
Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) yang dilaksanakan di PPM ialah Ujian Batu Dimensi (UBD) dan Ujian Pemprosesan Mineral (UPM) melibatkan bijih timah, bijih besi, bijih emas dan pasir silika.
Setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga PPM atas kejayaan ini. Semoga PPM terus komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan bagi kedua-dua skop ini dan terus melakar kejayaan cemerlang pada masa hadapan.

LAWATAN DELEGASI DARI INDUSTRIAL INNOVATION ACADEMY (IIA) DAN THE EARTH SCIENCES CONSULTATION CENTRE (ESCC), OMAN KE PPM

LAWATAN DELEGASI DARI INDUSTRIAL INNOVATION ACADEMY (IIA) DAN THE EARTH SCIENCES CONSULTATION CENTRE (ESCC), OMAN KE PPM
IPOH, 22 November – Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) telah menerima kunjungan dari Industrial Innovation Academy (IIA) dan The Earth Sciences Consultation Centre (ESCC), Oman.
Lawatan ini bertujuan mempelajari pembangunan terkini dalam industri jubin, batu kapur, batu hiasan dan sebagainya di samping membina hubungan dan kerjasama industri dengan PPM dan JMG dalam bidang mineral.
Dalam rangka lawatan ini, delegasi IIA-ESCC diketuai oleh diketuai oleh En. Marwan Khamis Al-Moqbali bersama 7 orang pegawai dari IIA dan ESCC.
Rombongan telah diberi taklimat profil korporat PPM dan tayangan video korporat PPM, perbincangan kerjasama industri seterusnya lawatan ke Galeri PPM dan makmal CTBS, CTBT dan CTBT.
Semoga kunjungan lawatan ini dapat membuka peluang kerjasama dalam meningkatkan lagi industri mineral antara dua negara ini.

PRIMARY TIN CONFERENCE (PTC) 2023

PRIMARY TIN CONFERENCE (PTC) 2023
KUALA LUMPUR, 16 November - Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (PPM-JMG) telah menyertai PTC 2023 yang berlangsung pada 16 November 2023 bertempat di Sunway Putra Hotel, Kuala Lumpur, Malaysia.
Seorang pegawai penyelidik dari Cawangan Teknologi Pemprosesan Mineral (CTPM) PPM turut membentangkan kertas kerja di persidangan ini. Kertas kerja bertajuk Enhancing Tin Grade by Removing Siderite from Primary Tin Ore telah dibentangkan oleh En. Costantine Joannes.
Persidangan ini telah dianjurakn oleh Lembaga Industri Timah (Penyelidikan dan Pembangunan) dan Dewan Perlombongan Malaysia (MCOM) serta dirasmikan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, YBhg Datuk P. Geol. Zamri bin Ramli pada hari yang sama.