Mersing, 22 Ogos 2016 - Program Kembara Mahkota Jelajah Kepulauan Mersing 2016 yang telah diadakan pada 21-22 Ogos 2016 merupakan edisi ketiga Program Kembara Mahkota 2016. Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor telah berkenan mencemar duli ke Pulau Tinggi, Pulau Besar, Pulau Tengah dan Pulau Rawa pada hari pertama (Ahad, 21/8/2016) dan ke Pulau Mensirip, Pulau Pemanggil, Pulau Aur dan Pulau Sibu pada hari berikutnya. Tuanku Sultan turut ditemani oleh dua orang puteranya Tunku Panglima Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Tunku Abu Bakar.
JMG Johor telah terlibat secara langsung pada hari kedua jelajah iaitu pelancaran program pemasangan sistem rawatan dan bekalan air bersih di Pulau Aur dan pameran sumber air bawah tanah di Johor khususnya Pulau Sibu.
Di Pulau Sibu juga berlangsungnya acara kemuncak Program Kembara Mahkota Jelajah Kepulauan Mersing 2016 iaitu pelancaran Monumen Santuari Dugong Negeri Johor di Pulau Sibu, Mersing yang akan meletakkan tanda Santuari Dugong ini di atas Google Map. Sultan Johor juga turut berkenan melancarkan peti pos DiRaja, dimana Tuanku Sultan akan menyelam dan meletakkan sebuah peti pos di dasar laut Pulau Mensirip sedalam kira-kira 10 meter. Peti pos itu nanti berfungsi seperti mana-mana peti pos di darat dan bakal menjadi produk pelancongan yang baru sebagai tarikan tambahan kepada komuniti penyelam. Dengan adanya peti pos di dasar laut, ia membolehkan penyelam di Pulau Mensirip berkongsi pengalaman mereka dengan keluarga dan rakan-rakan melalui poskad kalis air yang disertakan cop pos yang direka khas dengan motif kerang gergasi.
Turut hadir dalam program ini ialah YAB Menteri Besar Johor, Dato' Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Dato' Tee Siew Kiong.
Kembara Jelajah Pulau diperkenalkan atas perkenan Sultan Johor untuk mencemar duli ke pulau-pulau bagi mendekati rakyat jelata yang bermastautin di pulau-pulau di negeri Johor. Baginda berkenan untuk mendekati rakyat jelata yang tidak berpeluang untuk turut serta dalam Kembara Mahkota Johor di darat disebabkan oleh masalah logistik.
http://blog.jmg.gov.my/jmg-johor/2016-08-25-14-53-03#sigProIdfc039d570e