LAWATAN TEKNIKAL PUSAT PENYELIDIKAN MINERAL KE NUKLEAR MALAYSIA DAN NAHRIM

LAWATAN TEKNIKAL PUSAT PENYELIDIKAN MINERAL KE NUKLEAR MALAYSIA DAN NAHRIM
BANGI, 11 SEPT - Kumpulan penyelidik unsur nadir bumi Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) telah mengadakan lawatan teknikal ke Nuklear Malaysia, Bangi dan NAHRIM, Seri Kembangan.
Lawatan teknikal ini bertujuan untuk perbincangan dua hala antara PPM dan Nuklear Malaysia serta NAHRIM berhubung perkhidmatan dan tatacara pembinaan makmal instrumentasi pemprosesan nadir bumi berskala bangku.
Hasil daripada lawatan ini, para penyelidik berpeluang menimba ilmu, memperoleh maklumat bersasar yang lebih terperinci serta berkongsi pengalaman teknikal, sekali gus membuka minda terhadap pendekatan dan inovasi baharu dalam bidang penyelidikan.

PROGRAM BULAN KESEDARAN MS ISO 9001:2015 TAHUN 2024: TAKLIMAT KESEDARAN MS ISO 9001:2015, TAKLIMAT UJIAN BATU DIMENSI DAN UJIAN PEMPROSESAN MINERAL

PROGRAM BULAN KESEDARAN MS ISO 9001:2015 TAHUN 2024: TAKLIMAT KESEDARAN MS ISO 9001:2015, TAKLIMAT UJIAN BATU DIMENSI DAN UJIAN PEMPROSESAN MINERAL

IPOH, 9 SEPTEMBER – Pada tahun ini, Bulan Kesedaran MS ISO 9001:2015 yang diadakan sepanjang bulan September telah memasuki tahun ke empat. Oleh itu, bersempena dengan program ini, Cawangan Pelaksana Pengkomersialan (CPP) telah menyusun beberapa program yang berkaitan. Program pertama sempena bulan kesedaran ini ialah penyampaian taklimat berkaitan MS ISO 9001:2015 dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan.

Taklimat Kesedaran MS ISO 9001:2015 telah disampaikan oleh Pn. Siti Noorzidah binti Mohd. Sabri. Taklimat Perkhidmatan Ujian Batu Dimensi telah disampaikan oleh Ts. Zawawi bin Mahim dan taklimat Perkhidmatan Ujian Pemprosesan Mineral telah disampaikan oleh Ts. Costantine Joannes.
Semoga penyampaian taklimat ini dapat memberi kesedaran kepada semua kakitangan PPM berkaitan pelaksanaan MS ISO 9001:2015 bagi dua skop perkhidmatan iaitu Ujian Batu Dimensi (UBD) dan Ujian Pemprosesan Mineral (UPM).

BENGKEL PEMURNIAN DOKUMEN MS ISO 9001:2015

BENGKEL PEMURNIAN DOKUMEN MS ISO 9001:2015
Bengkel Pemurnian Dokumen MS ISO 9001:2015 telah diadakan pada 27 Ogos 2024 di Bilik Mesyuarat Blok F, PPM.
Bengkel ini dilaksanakan bertujuan membuat pemurnian dokumen MS ISO 9001:2015 yang merangkumi dokumen Prosedur Kerja, Arahan Kerja dan Pengurusan Risiko bagi skop perkhidmatan Unit Batu Dimensi (UBD) dan Unit Pemprosesan Mineral (UPM).
Bengkel ini telah diketuai oleh Wakil Pengurusan iaitu YBrs. Dr. Rohaya Othman dan telah dihadiri oleh seramai 35 orang ahli Jawatankuasa Pelaksana MS ISO 9001:2015 Pusat Penyelidikan Mineral.

MAJLIS SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA PERINGKAT PPM DAN PERHIMPUNAN BULANAN PPM BIL. 4/2024

MAJLIS SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA PERINGKAT PPM DAN PERHIMPUNAN BULANAN PPM BIL. 4/2024
IPOH, 27 Ogos - Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Pusat Penyelidikan Mineral dan Majlis Perhimpunan Bulanan Pusat Penyelidikan Mineral Bil. 4 Tahun 2024 telah berlangsung di Dewan Seminar, PPM pada hari ini.
Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bermula dengan pertandingan Auto Show Merdeka 2024 yang diadakan di perkarangan PPM. Sebanyak 4 buah kereta dan 3 buah motorsikal berhias telah dipertandingkan.
Kemudian, majlis diteruskan dengan acara dewan yang dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku diikuti dengan Lagu Kebesaran Negeri Perak dan Lagu Jalur Gemilang. Bacaan doa telah dipimpin oleh En. Ahmad Amirul Aiman, penaik bendera oleh Tuan Sayed Azmi dan lafaz Ikrar Rukun Negara yang diketuai oleh En. Fadrul Faiz.
Majlis telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Nazwin binti Ahmad, Pengarah Kanan PPM dengan menyampaikan perutusan amanat seterusnya merasmikan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia PPM 2024.
Majlis diikuti dengan tayangan montaj imbasan aktiviti dan peristiwa sepanjang bulan Julai dan Ogos 2024. Kemudian, majlis diteruskan dengan tayangan video perpindahan kakitangan yang telah berpindah dari PPM ke jabatan lain iaitu En. Asrul Affendi bin Amran (berpindah ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan, Sungkai, Perak).
Seterusnya, majlis diteruskan dengan sesi pengenalan 3 orang kakitangan baharu (Pn. Noor Azureen binti Mohd Kamil, Penolong Akauntan W29; En. Mohd Zikri bin Mohd Nizar, Pembantu Operasi, N11 dan En. Megat Harun Al-Rashid bin Megat Idris, Penolong Jurutera (Mekanikal), JA29). 5 orang pelajar industri juga turut diperkenalkan.
Acara Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia PPM 2024 diserikan lagi dengan Ceramah Kemerdekaan bertajuk “Wira Negara: Senyap dan Tangkas” yang disampaikan oleh YDH SUPT Hamzah bin Abdul Rani, Pegawai Turus Risik/Gerakan, 69 Komando Pasukan Gerak Khas. YDH SUPT Hamzah berkongsi pengalaman kisah perjuangan perajurit negara mempertahankan Malaysia semasa peristiwa Tanduo/OP SULU di Lahad Datu, Sabah yang berlaku pada tahun 2013.
Kemudian, majlis disusuli dengan sesi bergambar warga PPM bersama pasukan 69 Komando.
Acara sambutan kemerdekaan diteruskan lagi dengan Kuiz Kahoot! bertemakan “Bahasa Jiwa Bangsa”. Warga PPM teruja dan bersemangat menjawab kuiz santai yang telah disediakan.
Majlis sambutan kemerdekaan turut dilengkapi dengan upacara penyampaian hadiah oleh Pengarah Kanan PPM kepada semua pemenang program-program sambutan kemerdekaan iaitu Auto Show Merdeka, Kuiz Kahoot!, Pakaian Beragam Merdeka Pertandingan Cerita Memori Merdekaku.
Majlis diakhiri dengan persembahan Cerita Memori Merdekaku yang penuh sayu oleh Juara Pertandingan Cerita Memori Merdekaku iaitu Pn. Marlinda binti Daud dan majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari.

LAWATAN PELAJAR PASCA SISWAZAH DAN KAKITANGAN DARI PUSAT PENGAJIAN SAINS KIMIA, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA KE GALERI PENYELIDIKAN DAN MAKMAL PUSAT PENYELIDIKAN MINERAL

LAWATAN PELAJAR PASCA SISWAZAH DAN KAKITANGAN DARI PUSAT PENGAJIAN SAINS KIMIA, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA KE GALERI PENYELIDIKAN DAN MAKMAL PUSAT PENYELIDIKAN MINERAL
IPOH, 22 OGOS - Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) telah menerima lawatan daripada pelajar pasca siswazah dari Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia pada hari ini.
Rombongan yang terdiri daripada 39 orang pelajar dan 7 orang kakitangan telah diberi taklimat mengenai PPM dan dibawa melawat hasil penyelidikan PPM di Galeri Penyelidikan dan makmal-makmal CTPM, CTBS dan CTPP.
Semoga dengan kunjungan lawatan ini, para pelajar pasca siswazah dan kakitangan dapat menimba ilmu pengetahuan dan perkongsian pengalaman tentang cara pemprosesan mineral di samping memperoleh pengalaman melihat secara langsung protokol dan cara pengurusan makmal penyelidikan.