BENGKEL PENGURUSAN RISIKO BAGI MS ISO 9001:2015

BENGKEL PENGURUSAN RISIKO BAGI MS ISO 9001:2015
Ipoh, 25 - 26 September - Bengkel Pengurusan Risiko telah diadakan selama 2 hari melibatkan semua pelaksana MS ISO 9001:2015 bagi skop perkhidmatan ujian batu dimensi (UBD) dan ujian pemprosesan mineral (UPM) di Pusat Penyelidikan Mineral.
Bengkel ini merupakan acara tahunan yang diadakan bertujuan mengkaji semula isu dan punca risiko dan tindakan-tindakan kawalan yang perlu dibuat berkaitan dengan pelaksanaan skop perkhidmatan ujian di PPM yang mendapat pengiktirafan MS ISO 9001:2015.
Bengkel ini dimulai dengan taklimat daripada En. Mohd. Idham bin Mustaffar selaku Pegawai Dokumen MS ISO 9001:2015 PPM. Kemudian para pelaksana dibahagikan kepada kumpulan mengikut skop perkhidmatan UBD dan UPM di samping kumpulan sokongan yang terlibat iaitu kewangan, latihan dan promosi. Bengkel kemudian diakhiri dengan pembentangan daripada setiap wakil kumpulan.
Bengkel Pengurusan Risiko ini menjadi acara penutup kepada program Bulan Kesedaran MS ISO 9001:2015 yang telah diadakan pada sepanjang bulan September pada setiap tahun.

LAWATAN TEKNIKAL KE BAHAGIAN PERKHIDMATAN TEKNIKAL, JABATAN MINERAL DAN GEOSAINS MALAYSIA

LAWATAN TEKNIKAL KE BAHAGIAN PERKHIDMATAN TEKNIKAL, JABATAN MINERAL DAN GEOSAINS MALAYSIA
8 September – Seramai 7 orang ahli Jawatankuasa Pengurusan Sisa Kimia Pusat Penyelidikan Mineral yang diketuai oleh En. Anuar bin Othman telah mengadakan lawatan teknikal ke Bahagian Perkhidmatan Makmal, Bahagian Perkhidmatan Teknikal, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (BPT-JMG).
Lawatan teknikal ini bertujuan mempelajari pengurusan pengendalian sisa bahan kimia. Ketua Keselamatan Makmal BPT, En. Mohd Fahami bin Abas telah menyampaikan ceramah dan menjelaskan kepentingan pengurusan pengendalian sisa bahan kimia di samping berkongsi mengenai amalan terbaik pengurusan sisa bahan kimia makmal di BPT.
Semoga lawatan ini dapat meningkatkan kesedaran tentang keselamatan pengendalian sisa bahan kimia dan seterusnya berupaya meningkatkan tahap kecekapan berkaitan pengurusan sisa bahan kimia dan perkhidmatan makmal.

Lawatan Kerja JPPH Ke Pusat Penyelidikan Mineral

Lawatan Kerja JPPH Ke Pusat Penyelidikan Mineral
IPOH, 12 SEPTEMBER – Delegasi Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan Malaysia telah melakukan lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan Mineral, Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia (PPM-JMG).
Lawatan ini bertujuan melihat secara fizikal harta intelek yang dibangunkan sekaligus menjalankan kerja-kerja pengumpulan data bagi penilaian harta intelek terlibat.
Delegasi seramai 16 orang ini diketuai oleh Puan Sr. Nadila binti Hamidi, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Standard Amalan.
Pada sebelah pagi diadakan sesi pembentangan harta intelek yang berjaya disijilkan yang telah disampaikan oleh pegawai-pegawai penyelidik selaku pencipta bagi inovasi ini manakala penilaian fizikal di makmal-makmal telah dijalankan pada sebelah petang.
Sebanyak 8 harta intelek dinilai pada sesi kedua ini yang terdiri daripada 4 paten, 3 perbaharuan utiliti dan 1 hakcipta. Sesi penilaian pertama telah dibuat pada tahun 2021 melibatkan 9 harta intelek yang terdiri daripada 5 hak cipta, 2 paten, 1 perbaharuan utiliti dan 1 rekabentuk industri.
Harta-harta intelek ini perlu dibuat penilaian bagi maksud perakaunan akruan dan secara tak langsung bagi menentukan nilai aset tak ketara ini.

Program Jerayawara Pembangunan Aplikasi PPM dan Familiarisasi MySDI

 Program Jerayawara Pembangunan Aplikasi PPM dan Familiarisasi MySDI
5 - 7 SEPTEMBER - Kakitangan Cawangan Teknologi Perlombongan dan Pengkuarian (CTPP) telah mengadakan program Jerayawara Pembangunan Aplikasi PPM dan Familiarisasi MySDI di beberapa buah negeri. Beberapa delegasi telah dibentuk bagi menjayakan program ini.
Bagi JMG Selangor dan Wilayah Perseketuan, delegasi telah diketuai oleh Dr. Hj. Izhar Abadi. Manakala bagi JMG Johor, delegasi tersebut telah diketuai oleh Cik Fatihah Azmi dan delegasi ke JMG Kelantan telah diketuai oleh En Ahmad Firdaus.
Aplikasi MySDI ini diwujudkan sebagai satu inisiatif ke arah pendigitalan perkhidmatan kerajaan. Program ini disasarkan kepada semua kakitangan Unit Pembangunan Lombong dan Kuari di setiap negeri bagi menguji sistem ini terlebih dahulu sebelum diperluaskan penggunaanya.

Pasukan Pensijilan dan Akreditasi PPM telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC)

Pasukan Pensijilan dan Akreditasi PPM telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC)
KUALA LUMPUR, 7 SEPTEMBER - Pasukan Pensijilan dan Akreditasi PPM telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) bagi mendapatkan maklumat dan perkongsian pengalaman mereka dalam bidang pensijilan industri kayu negara.
Delegasi dari PPM disambut dan diberi taklimat oleh En. Melvin Ku selaku Pengarah Pengurusan Hutan dan juga Puan Sabrina Mawasi selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif.
Diharapkan dengan lawatan ini, pasukan pensijilan dan akreditasi PPM dapat mengambil input semaksimumnya dan dapat diaplikasikan dalam penyediaan dokumen pensijilan mineral nanti.