BENGKEL ACID MINE DRAINAGE (AMD) Anjuran Pusat Penyelidikan Mineral (PPM)

BENGKEL ACID MINE DRAINAGE (AMD)  Anjuran Pusat Penyelidikan Mineral (PPM)

Bengkel Acid Mine Drainage (AMD) telah diadakan pada 29 hingga 30 November 2017. Bengkel ini dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Mineral dengan kerjasama Cawangan Teknologi Perlombongan dan Pengkuarian (CTPP). Bengkel ini telah berlangsung selama dua hari iaitu pada hari pertama diadakan syarahan yang bertempat di Dewan Seminar, Pusat Penyelidikan Mineral manakala pada hari kedua ialah program lawatan ke Lombong Rahman Hydraulic Tin (RHT) Sdn. Bhd. Pengkalan Hulu, Perak.

Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan pembantu penyelidik PPM serta 5 orang pegawai dan pembantu geosains dari Bahagian Perkhidmatan Teknikal dan Jabatan Mineral dan Geosains negeri Perak telah mengikuti bengkel ini.

Perasmian bengkel telah disempurnakan oleh Tn. Hj. Malek bin Selamat, Pegawai Penyelidik Q52, mewakili Tuan Pengarah PPM.

Beberapa tajuk ceramah berkaitan AMD telah disampaikan oleh dua orang penceramah yang terdiri daripada En. Mohd Syahrir bin Mohd Rozi dan Cik Fatihah binti Azmi dari Pusat Penyelidikan Mineral manakala En. Hanizan Shah bin Saidin dari JMG Negeri Perak. Bengkel ini telah berlangsung dengan jayanya dan telah memberi manfaat kepada semua peserta.

PENGENALAN ACID MINE DRAINAGE (AMD)

Saliran lombong berasid atau lebih dikenali dengan Acid Mine Drainage (AMD) merupakan satu permasalahan yang sering terjadi di kawasan lombong mineral berlogam. AMD terbentuk apabila mineral sulfida yang terdedah hasil aktiviti perlombongan bertindakbalas dengan udara dan air. Kesan AMD terhadap alam sekitar sangat membahayakan manusia dan hidupan flora dan fauna di sekelilingnya.

Kaedah rawatan AMD boleh dibahagikan kepada dua teknik umum iaitu rawatan secara aktif dan rawatan secara pasif. Pemilihan kaedah rawatan bergantung kepada keadaan kawasan yang perlu dirawat. Kedua-dua kaedah rawatan ini mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri.

Kajian terhadap kesan dan teknik rawatan AMD di kawasan lombong telah dijalankan oleh PPM melalui Cawangan Teknologi Perlombongan dan Pengkuarian. Bermula pada tahun 2016, satu kajian kes terhadap isu AMD di kawasan kritikal iaitu Bukit Besi, Dungun telah dijalankan dan akan diteruskan sehingga tahun 2018.

Menerusi bengkel yang dicadangkan ini, peserta akan diberi pendedahan dan juga kefahaman yang berguna tentang Acid Mine Drainage (AMD) secara umum dan aktiviti-aktiviti penyelidikan AMD yang dijalankan oleh PPM.

LAWATAN KE LOMBONG RAHMAN HYDRAULIC TIN (RHT) SDN. BHD

Bersempena dengan bengkel AMD satu lawatan kerja telah diadakan pada 30 November 2017 ke lombong RHT Sdn Bhd. Lawatan ini terdiri daripada 25 orang pegawai dan pembantu penyelidik PPM.

Taklimat operasi perlombongan RHT Sdn Bhd telah disampaikan oleh Process Engineer RHT Sdn Bhd. Semua peserta lawatan telah dibawa melawat kawasan lombong, loji pemprosesan dan tapak rawatan AMD.

Teknik melombong secara dedah (opencast mining) digunakan untuk mengeluarkan bijih mineral manakala teknik gravitasi basah (wet gravitational method) pula digunakan untuk memproses dan mengasingkan bijih timah daripada buburan tanah. Contoh teknik gravitasi basah adalah menggunakan pam kelikir untuk memecahkan struktur tanah yang mengandungi bijih timah. Tanah yang bercampur bijih akan dialirkan ke palong untuk diasingkan. Batu-batu akan dibawa ke pemecah (crusher) menggunakan conveyor belt supaya dapat diproses, dikeringkan dan diasingkan dari bahan mineral lain.

Terdapat 14 kolam tadahan air yang akan memproses air supaya dapat diguna semula. Kapur toho telah digunakan untuk merawat efluen sebelum dialirkan ke sungai berdekatan. Kedudukan lombong RHT yang berdekatan dengan Pong Mini Hydro Power juga merupakan kelebihan dimana ia dapat menjimatkan kos penggunaan elektrik.

Lawatan kerja ini telah memberi gambaran yang lebih jelas mengenai proses penghasilan bijih timah dari segi pengurusan, keselamatan dan kemampanan terhadap alam sekitar.


Written by : ezulia