Tanggal 16 Januari 2018 merupakan satu detik bermakna bagi Pusat Penyelidikan Mineral (PPM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) di mana pihak PPM, JMG secara rasminya telah menjalinkan kerjasama pintar bersama pihak Abada Venture Sdn Bhd dalam Majlis Menandatangani Kertas Kerjasama Pintar yang berlangsung di dewan seminar di sini.
Majlis tersebut dihadiri oleh Pengerusi Eksekutif Abada Venture Sdn Bhd, Tn Hj Idris Bin Muhamud dan rombongan, serta Pengarah PPM, Tn Hj Md Muzayin Bin Alimon, Timbalan Pengarah iaitu En Aminudin Bin Mahmud, ketua-ketua cawangan, dan para pegawai penyelidik.
Idea untuk menjalinkan kerjasama ini tercetus hasil daripada pertemuan antara pihak pengurusan Abada Venture Sdn Bhd dengan pihak pengurusan PPM dan Cawangan Teknologi Pemprosesan Mineral (CTPM) pada 10 November tahun lepas di PPM.
Tahniah kepada Ketua Projek PPM, YBrs Dr Ismail Bin Ibrahim serta pasukan CTPM kerana telah mengambil inisiatif untuk memulakan usahasama dengan pihak Abada Venture dalam sektor perlombongan bijih besi. Kerjasama yang dibuat adalah mengenai ‘Program Perundingan Peningkatan Kemahiran Pembangunan dan Pemindahan Teknologi Pemprosesan Sumber Mineral Terutamanya Dalam Industri Perlombongan Bijih Besi’.
Tujuan kerjasama pintar ini dibuat adalah untuk meningkatkan kemahiran pembangunan dan pemindahan teknologi pemprosesan sumber mineral terutamanya dalam industri perlombongan bijih besi berdasarkan kesaksamaan serta kepentingan bersama. Pihak PPM, JMG akan menyediakan kepakaran dan teknologi dalam pembangunan penyelidikan mineral yang ada sebagai satu landasan pemindahan teknologi, pengetahuan dan kemahiran kepada Abada Venture Sdn Bhd. Manakala Abada Venture akan menyediakan kepakaran dari segi pengetahuan, kemudahan peralatan berskala loji dan industri, termasuk sumber tenaga manusia dan pembangunan teknologi pemprosesan bagi penghasilan produk dan pengkomersialan.
Seiring dengan dasar kerajaan pada masa ini, institusi penyelidikan tidak hanya menjalankan R&D sahaja, malah telah melangkah setapak lagi iaitu ke arah R&D&C. Usaha pengkomersialan akan memberikan impak yang besar kepada organisasi R&D&C. Oleh yang demikian, jalinan kerjasama pintar ini telah menjadi platform yang penting untuk mencapai matlamat pengkomersialan produk R&D.
Di samping itu juga, projek bagi pemprosesan bijih besi telah disenaraikan oleh Kementerian Sains, Alam Sekitar dan Inovasi (MOSTI) dalam 41 finalis Tahun Pengkomersialan 2017 (MCY 2017) daripada ratusan produk yang lain di seluruh Malaysia. Justeru, dengan adanya kerjasama seperti ini, ia dapat meningkatkan rating Key Performance Index (KPI) bagi JMG dalam senarai pengkomersialan MOSTI tersebut.
http://blog.jmg.gov.my/pusat-penyelidikan-mineral/2018-01-22-04-26-57#sigProId65bdc26257