Persaraan Pengarah PPM & Ketua Cawangan Teknologi Pemulihan Lombong dan Kuari

Persaraan Pengarah PPM & Ketua Cawangan Teknologi Pemulihan Lombong dan Kuari

Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh – 24 Januari 2019. Sekalung penghargaan diucapkan kepada Pengarah PPM, Tn. Hj. Md. Muzayin Bin Alimon serta Ketua Cawangan Teknologi Pemulihan Lombong dan Kuari (CTPLK), Tn. Hj. Kori Bin Mohamad yang akan menamatkan perkhidmatan mereka sebagai penjawat awam pada hujung bulan ini. Di kesempatan ini, Pengarah telah menyampaikan ucapan terakhir beliau bersempena dengan Majlis Perhimpunan Bulanan yang telah diadakan pada 24 Januari 2019 bertempat di Dewan Seminar PPM.

Tn. Hj. Md. Muzayin Bin Alimon telah memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Penyelidik di Institut Penyelidikan Galian (IPG), Jabatan Galian Malaysia pada 18 April 1983 dan dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Penyelidik Q2 di IPG, Jabatan Galian Malaysia pada 1 November 1997. Kemudian, beliau telah dilantik sebagai Pegawai Penyelidik Kanan di PPM pada 1 Januari 2001. Pada 1 Oktober 2002, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Penyelidik Q48. Tn. Hj. Md. Muzayin juga telah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2005 serta tahun 2014. Kariernya terus berkembang apabila beliau sekali lagi telah dinaikkan pangkat ke Gred Q52 pada 2 Mei 2008, dan seterusnya ke Gred Q54 pada 16 Januari 2015. Tarikh 14 Mac 2016 menjadi titik kejayaan kepada beliau bagi Pertukaran Sementara Sebagai Pengarah PPM (Pegawai Penyelidik Gred Utama C) sehingga persaraan wajib daripada perkhidmatan awam pada 28 Januari 2019 ini.

Manakala, Tn. Hj. Kori Bin Mohamad pula memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Penyelidik di Institut Penyelidikan Galian (IPG), Jabatan Galian Malaysia, pada 8 Jun 1983. Beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Penyelidik Q3 pada 1 Januari 1992, dan seterusnya dinaikkan ke Gred Q2 pada 1 November 1997. Kemudian, beliau telah dilantik sebagai Pegawai Penyelidik Kanan di PPM pada 1 Januari 2001. Beliau juga telah mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2004 dan seterusnya dinaikkan pangkat ke Gred Q48. Pada 2 Mei 2008, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Penyelidik Q52 dan dan seterusnya ke Gred Q54 pada 16 Januari 2015. Beliau telah memilih tanggal 1 Februari 2019 sebagai tarikh bersara pilihan daripada perkhidmatan awam.

Di kesempatan ini, kami semua warga PPM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Tn. Hj. Md. Muzayin dan Tn. Hj. Kori atas segala jasa dan sumbangan yang telah mereka curahkan selama ini dalam membangunkan PPM sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Tn. Hj. Md. Muzayin dan Tn. Hj. Kori dalam melayari alam persaraan dan semoga sihat dan bahagia bersama keluarga tercinta.

Written by : ezulia