Hasil inovasi dari Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) yang bertajuk “Simple and Cost Effective Method of Producing Paper with Addition of Filler, High Impact and Sustainable to Malaysia” telah terpilih sebagai salah satu pemenang saguhati (Top 20) bagi Pertandingan Inovasi Peringkat Kebangsaan iaitu NBOS Competition 2016 yang merupakan salah satu program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). Pertandingan ini dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan ia dikendalikan sepenuhnya oleh Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC).
LAWATAN SYARIKAT AL-TAYEBA TRADING DARI NEGARA EMERIAH ARAB BERSATU DAN YAYASAN ABADA DARI BALING, KEDAH KE PUSAT PENYELIDIKAN MINERAL, JABATAN MINERAL DAN GEOSAINS MALAYSIA
IPOH, 9 Januari 2017 (Isnin). Pusat Penyelidikan Mineral (PPM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menerima lawatan daripada delegasi Al-Tayeba Trading dari Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Yayasan ABADA, Baling, Kedah pada jam 11.00 pagi. Delegasi dari Al-Tayeba Trading diketuai oleh En Abdus Salam manakala Yayasan ABADA diketuai oleh Tn Hj Idris bin Muhamud. Al-Tayeba Trading merupakan sebuah syarikat yang beroperasi dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk dalam sektor mineral berlogam. Tujuan delegasi tersebut mengunjungi PPM adalah untuk menjalin hubungan dua (2) hala disamping untuk meneliti fasiliti peralatan dan kepakaran yang terdapat di PPM khususnya bagi pemprosesan bijih besi. Yayasan ABADA pula adalah sebuah syarikat yang dilantik oleh Al-Tayeba bagi mewakili syarikat tersebut untuk memasarkan konsentrat besi dari negara Malaysia ke UAE. Lawatan separuh hari ini telah dimulakan dengan rundingan teknikal mengenai pemprosesan bijih besi bersama Pegawai-pegawai Penyelidk dari Cawangan Teknologi Pemprosesan Mineral (CTPM). Rundingan tersebut telah dipengerusikan oleh Dr Nazwin Binti Ahmad, Ketua Cawangan CTPM, PPM.
KAMPUS PPM (ICT): KURSUS PENGENALAN KEPADA TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI
Pada 8 November 2016, PPM telah mengadakan kursus IT yang bertajuk Pengenalan Kepada Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Kursus ini telah dihadiri seramai 15 orang dari kakitangan Sokongan 1 dan 2. Tujuan kursus ini adalah untuk memastikan kakitangan PPM memahami penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat, dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu. Dengan adanya pengetahuan serba sedikit berkaitan ICT, kerja-kerja yang dilakukan menjadi lebih cekap dan mudah.
BENGKEL PENGHASILAN MARMAR SINTETIK
Satu bengkel Penghasilan Marmar Sintetik telah dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Mineral (PPM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia. Bengkel Penghasilan Marmar Sintetik telah diadakan pada 22 hingga 23 November 2016 di Dewan seminar PPM dan makmal-makmal Cawangan Teknologi Bahan Termaju (CTBT). Bengkel ini berlangsung selama satu setengah hari dan telah dirasmikan oleh Pengarah PPM, En. Md Muzayin Bin Alimon. Seramai sebelas (11) orang Pegawai Penyelidik, tiga (3) orang Penolong Pegawai Penyelidik, sembilan (9) orang Pembantu Penyelidik , tiga (3) orang Pembantu Operasi, lima (5) orang Pembantu Awam dan satu (1) orang Pembantu Am Pejabat telah menghadiri bengkel ini.
Lawatan Sambil Belajar Universiti Malaysia Kelantan ke PPM
Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) telah berbesar hati menerima kunjungan seramai 100 orang pelajar dan pensyarah dari Program Sains Bahan, Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 22 November 2016 yang lalu. Pada permulaan acara, mereka telah mendengar taklimat di Dewan Seminar mengenai perjalanan organisasi dan aktiviti-aktiviti penyelidikan yang dilaksanakan di PPM yang telah disampaikan oleh En Aminudin bin Mahmud, Ketua Cawangan Pelaksana Pengkomersialan (CPP). Mereka juga turut diberi taklimat berkaitan tugas dan aktiviti penyelidikan di Cawangan Teknologi Bahan Silika (CTBS) dan Cawangan Teknologi Bahan Lempung (CTBL) yang telah disampaikan oleh Tn. Hj. Mohamad Haniza bin Mahmud dan En. Hamdan bin Yahya. Manakala, Tn Hj Malek bin Selamat telah memberi taklimat dan penjelasan mengenai aktiviti R&D yang dilaksanakan Cawangan Teknologi Bahan Termaju (CTBT).