Lawatan Sambil Belajar Universiti Malaysia Kelantan ke PPM

Lawatan Sambil Belajar Universiti Malaysia Kelantan ke PPM

Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) telah berbesar hati menerima kunjungan seramai 100 orang pelajar dan pensyarah dari Program Sains Bahan, Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 22 November 2016 yang lalu. Pada permulaan acara, mereka telah mendengar taklimat di Dewan Seminar mengenai perjalanan organisasi dan aktiviti-aktiviti penyelidikan yang dilaksanakan di PPM yang telah disampaikan oleh En Aminudin bin Mahmud, Ketua Cawangan Pelaksana Pengkomersialan (CPP). Mereka juga turut diberi taklimat berkaitan tugas dan aktiviti penyelidikan di Cawangan Teknologi Bahan Silika (CTBS) dan Cawangan Teknologi Bahan Lempung (CTBL) yang telah disampaikan oleh Tn. Hj. Mohamad Haniza bin Mahmud dan En. Hamdan bin Yahya. Manakala, Tn Hj Malek bin Selamat telah memberi taklimat dan penjelasan mengenai aktiviti R&D yang dilaksanakan Cawangan Teknologi Bahan Termaju (CTBT).

Para pelajar dan pensyarah kemudiannya dibawa melawat ke Galeri PPM untuk memberi pendedahan dan gambaran mengenai semua aktiviti penyelidikan yang dijalankan di PPM. Seterusnya, mereka juga telah dibawa melawat ke beberapa makmal di CTBS dan CTBL di mana mereka berpeluang melihat demostrasi penghasilan kaca kristal dan pembuatan produk seramik secara tuangan slip.

Sebagai satu-satunya pusat penyelidikan dalam bidang mineral di negara ini, PPM sentiasa bersedia untuk berkongsi pengalaman, teknologi serta R&D yang dijalankan di sini kepada mana-mana pihak yang berminat. Pada kesempatan ini, PPM mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UMK atas kesudian mengadakan lawatan sambil belajar ke PPM dan berharap agar hubungan yang terjalin ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Written by : ezulia