Banting – 1 Disember 2021. Cawangan Teknologi Pemprosesan Mineral (CTPM) dari Pusat Penyelidikan Mineral (PPM), Ipoh telah mengadakan lawatan kerja ke Kilang Lion Mining Sdn Bhd pada 9 November yang lalu. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada kakitangan secara langsung berkaitan proses pasir silika di lapangan, memberi pendedahan dalam kerja-kerja pemprosesan pasir silika iaitu bermula dari proses feeding (pasir asal dicampur dengan air), screening (pengasingan partikel) menggunakan jig dan trommel, spiraling untuk membuang bendasing, magnetic separator untuk membuang sisa besi, dan diakhiri dengan moisture reduction untuk mengurangkan kadar kelembapan, di samping menjalinkan kerjasama erat antara pihak PPM-JMG dan industri.
Lawatan selama satu hari ini telah diketuai oleh Dr. Ismail bin Ibrahim selaku Ketua Cawangan Teknologi Pemprosesan Mineral di Pusat Penyelidikan Mineral, Ipoh. Lawatan ini juga telah dihadiri oleh seorang Pegawai Penyelidik Cawangan Teknologi Berasaskan Silika (CTBS), dan tiga belas orang kakitangan daripada Cawangan Teknologi Pemprosesan Mineral (CTPM).
Sepanjang sesi lawatan, wakil syarikat Lion Mining Sdn Bhd telah memberi penerangan kepada kakitangan mengenai pengurusan dan hala tuju syarikat, penerangan secara ringkas tentang proses pasir silika, analisis dan ujian yang telah dijalankan oleh pihak syarikat di makmal . Untuk lawatan tapak, para pelawat dibawa melihat kawasan pemprosesan pasir silika (plant) menggunakan kenderaan yang telah disediakan oleh pihak industri. Mereka juga diberi penerangan secara lebih terperinci oleh para petugas kilang terhadap setiap peralatan yang ditunjukkan.
Program lawatan ini amat berguna terutamanya kepada kakitangan CTPM kerana boleh meningkatkan pengetahuan dan kemahiran semasa menjalankan tugas. Di samping itu, hubungan kerjasama antara PPM dan pihak Industri dapat dieratkan dan saling bertukar maklumat untuk memajukan bidang mineral serta meningkatkan kemahiran dan kompetensi kakitangan CTPM dalam memberikan perkhidmatan MS ISO 9001:2015 iaitu Perkhidmatan Ujian Pemprosesan Mineral (Bijih Timah/Besi/Emas dan Pasir Silika).
Akhir sekali, lawatan ini berjalan lancar dengan kerjasama dari semua pihak terutamanya dari Lion Mining Sdn Bhd, dan kakitangan yang terlibat dalam lawatan teknikal. Maka, PPM berharap bahawa kerjasama yang terjalin bertambah erat dan sekaligus berkongsi pengalaman pada masa yang akan datang. Semoga program seperti ini akan menjadi aktiviti tahunan untuk kakitangan CTPM dan Pusat Penyelidikan Mineral.