Pada hari Khamis, 12 April 2018, seramai 3 orang pelajar Diploma Sains daripada UPSI yang sedang menjalani latihan industri di PPM berserta 2 orang pegawai pengiring PPM telah membuat lawatan sambil belajar ke 3 lokasi yang terkait dengan industri perlombongan, iaitu Muzium Perlombongan Bijih Timah di Kampar, Tanjung Tualang Tin Dredge No.5 dan SUGA ( Stesen Ujian Galian), Jabatan Mineral dan Geosains. Tujuan lawatan tersebut diadakan adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang sejarah serta kaedah perlombongan dan peralatan-peralatan yang digunakan dalam industri tersebut.
Destinasi yang pertama ialah ke Muzium Perlombongan Bijih Timah Han Chin Pet Soo, muzium bijih timah Hakka yang pertama di Malaysia. Ketika berada di sana, para pelajar dipamerkan tentang sejarah perlombongan serta pengasas di beberapa tempat di Tanah Melayu oleh petugas di sana. Mereka juga dapat merasai pengalaman mendulang dan melihat peralatan-peralatan kuno dalam industri perlombongan.
Selain itu, para pelajar juga berpeluang ke Tanjung Tualang Tin Dredge No.5 di Tanjung Tualang untuk melihat sendiri kapal korek yang sebenar yang digunakan pada zaman penjajahan British. Mereka juga berpeluang untuk masuk ke dalam kapal korek tersebut dan meneroka setiap ruang di sana. Pemandu pelancong menerangkan secara ringkas tentang sejarah kapal korek tersebut dan fungsi-fungsi di setiap bahagian badan kapal.
Lawatan terakhir ialah di SUGA yang terletak di Malim Nawar, Perak. Di SUGA, para pelajar didedahkan pula dengan kerja-kerja penyelidikan PPM serta peralatan-peralatan yang digunakan dalam kerja tersebut.
Pihak PPM mengharapkan agar lawatan sambil belajar tersebut dapat memberi manfaat kepada semua pelajar yang mengikuti rombongan ini.
http://blog.jmg.gov.my/pusat-penyelidikan-mineral/pelajar-latihan-industri-melawat-muzium-perlombongan-bijih-timah,-kapal-korek-dan-suga#sigProIdb0ba793bea