13 Januari 2015 - PPM telah dikunjungi oleh seorang Pensyarah dan tiga pelajar dari Pusat pengajian Kejuruteraan Kelautan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Tujuan kunjungan mereka untuk mengadakan usaha-sama diantara PPM-UMT bagi menjalankan kajian penyelidikan mengenai kajian tulang lembu, tulang ikan dan kajian habuk. Pensyarah berkenaan, Dr Noor Zaitun Bt Yahya merupakan Penyelia bagi keempat-empat pelajar tersebut.
UMT telah melantik Dr Hj Ismail Bin Ibrahim yang merupakan Pegawai Penyelidik dari Cawangan Teknologi Pemprosesan Mineral sebagai Penyelia Lapangan bagi dua orang pelajar Projek Ilmiah Tahun Akhir. Pelajar tersebut adalah Cik Nur Amalina Amyza Bt Azmi dengan kajian beliau bertajuk ‘Optimum Pores Size of Activated Carbon from Inorganic Biodegradable Waste (Cow Bones) by Activation Process’. Pelajar kedua, Cik Nur Fatin Afiqah Binti Abdul Khadib dengan kajian beliau bertajuk ‘Optimum Pores Size of Activated Carbon from Inorganic Biodegradable Waste (Fish Bones) by Chemical Activation Process’.
Untuk kajian sampel tulang lembu (cow bones), secara umumnya sampel tulang tersebut dijalankan di PPM adalah melibatkan proses pemecahan (crushing) menggunakan penghancur rahang (Foto 1 dan 2), penghancuran (pulverizing) menggunakan penghancur berskala besar (Foto 3 dan 4), persampelan menggunakan teknik pengkonan dan penyukuan (Foto 5). Sampel terwakil setiap satu sebanyak 200 g kemudiannya dijalankan pengkalsinan menggunakan ketuhar (furnace) bersuhu 600oC, 700 oC, 800oC, 900 oC dan 1000 oC (Foto 6). Seterusnya sampel-sampel tersebut (Foto 7) akan dikisar halus menggunakan pengisar bebola selama 10 minit dan terhasil serbuk tulang bersaiz halus -100 µm (Foto 8). Serbuk sampel selanjutnya akan dijalani ujian ‘stim activation’ menggunakan gas nitrogen. Kajian secara terperinci ke atas sampel selanjutnya akan menggunakan field scanning electron microscope (FESEM) untuk imbasan mikrograf, kajian luas permukaan menggunakan Brunauer, Emmett and Teller (BET) dan analisis karbon CHNS elemental analyser.