SURVEI KERJA TEKNIKAL DI RAHMAN HYDRAULIC TIN SDN. BHD.

SURVEI KERJA TEKNIKAL DI RAHMAN HYDRAULIC TIN SDN. BHD.
SURVEI KERJA TEKNIKAL DI RAHMAN HYDRAULIC TIN SDN. BHD., KLIAN INTAN, PERAK
 
KLIAN INTAN, 23 Julai 2024 – Satu survei kerja teknikal telah dijalankan oleh Cawangan Ekonomi Mineral bersama JMG Perak di tapak lombong timah tertua di Malaysia yang masih aktif dan telah terkenal sejak abad ke-17 di Klian Intan, Perak iaitu Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd. (RHT). RHT telah mengusahakan lombong di Klian Intan ini sejak 1907 sehingga kini dan telah mengeluarkan 110,000 tan konsentrat timah bernilai USD 3.3 bilion (USD 30,000/tan).
 
Survei kerja teknikal ini diketuai oleh En. Zamzuri bin Ghazalee, Timbalan Pengarah Cawangan Ekonomi Mineral dan disertai oleh En. Badrol bin Mohamad, Timbalan Pengarah Geosains JMG Perak serta pegawai-pegawai statistik mineral JMG seluruh negara.
 
Taklimat ringkas berkaitan RHT telah disampaikan oleh En. Haryanto bin Salleh, Pengurus Kanan RHT. Survei ini dijalankan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pegawai statistik mineral berkaitan tatakelola perlombongan bijih timah di Perak.
 
Pihak syarikat telah memberi pencerahan berkenaan dengan rizab sumber bijih timah yang telah dikenalpasti, kaedah pemprosesan dan kerja-kerja mitigasi yang dijalankan bagi memastikan kemampanan perlombongan ini disamping memberi peluang kepada penduduk di sekitar meningkatkan sosio-ekonomi setempat.
 
Pegawai statistik JMG berpeluang melihat aktiviti perlombongan bijih timah di tapak lombong, sistem kawalan air realtime monitoring MiQims dan kaedah pemprosesan sehingga pengasingan magnetik kepada 72%. Setiap tahun, Syarikat Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd. telah membayar RM23.8 juta duti eksport dan CESS Kastam serta cukai pendapatan kepada Kerajaan Persekutuan dan RM34.9 juta kepada Kerajaan Negeri Perak untuk royalti dan lain-lain.

Written by : azrul_aziz@jmg.gov.my