LAWATAN KERJA UNIT EKONOMI MINERAL JABATAN MINERAL DAN GEOSAINS MALAYSIA KE LOMBONG BIJIH BESI CHAAH, BATU PAHAT

muka depan lombong chaah-vert

Chaah, 24 Mei 2017 - Seramai empat (4) pegawai dari Unit Ekonomi Mineral JMG Ibu Pejabat dan tujuh (7) kakitangan JMG Johor telah mengadakan lawatan kerja ke Lombong Bijih Besi Chaah, Batu Pahat.

Tujuan utama lawatan ini ialah melihat operasi perlombongan bijih besi dijalankan dan penggunaan teknologi pemprosesan bijih yang digunakan. Disamping mendapatkan maklumat berhubung pengeluaran, perbincangan turut diadakan bagi mengenalpasti sekiranya terdapat masalah yang berkaitan dengan Jabatan. Pihak syarikat turut berkongsi harapan agar industri perlombongan dan ekonomi negara amnya kembali aktif.

Rombongan JMG terdiri daripada En Joanes Muda (Pengarah Ekonomi Mineral), En Ling Nan Ley (Timbalan Pengarah EM) dan pegawai-pegawai geosains antaranya En Yusari Basiran, En Iszaynuddin Abd. Hamid, En Mohammad Hazli Hanapi dan Pn Yong Adilah Mustafa. Seramai empat kakitangan syarikat Lombong Besi Chaah yang diketuai sendiri oleh Pengurus Lombong iaitu En Ah Heng dan Jurutera, En Khairi telah melayani kunjungan JMG.

Lombong bijih besi ini menunjukkan perkembangan yang amat menarik. Bermula pada tahun 1960 hingga kini, ia telah dilombong oleh beberapa operator perlombongan. Rekod perlombongan menunjukkan bahawa kawasan ini telah mula dilombong pada tahun 1960 oleh Syarikat Johore Miner Co. Ltd. Syarikat Matahari Mining Sdn Bhd pula telah melombong di kawasan ini dari tahun 1987 hingga 2007. Kini, lombong bijih besi ini dijalankan pula oleh operator lombong Honest Sam Develoment Sdn Bhd bermula pada tahun 2008.

Seiring dengan aktiviti perlombongan yang dijalankan, eksplorasi masih diteruskan bagi mengenalpasti jumlah rezab yang ada dan berdasarkan kajian terkini, rezab bijih besi yang ada dijangkakan mampu bertahan sehingga 10 tahun lagi dengan pengeluaran maksimum semasa. Namun jumlah pengeluarannya turut bergantung kepada keadaan pasaran global, manakala rezab dijangka juga turut berubah memandangkan kajian atau eksplorasi masih tetap dijalankan.

Written by : asrul