LAWATAN KERJA UNIT EKONOMI MINERAL JABATAN MINERAL DAN GEOSAINS MALAYSIA KE KILANG SERAMIK GUOCERA, KLUANG, JOHOR

muka depan guocera kluang

Kluang, 25 Mei 2017 - Seramai lima (5) pegawai dari Unit Ekonomi Mineral JMG Ibu Pejabat dan empat (4) kakitangan JMG Johor telah mengadakan lawatan kerja ke Kilang Seramik Guocera di Kluang, Johor.

Tujuan utama lawatan ini ialah melihat pembuatan produk berasaskan tanah liat di Kilang Seramik Guocera dan mendapatkan maklumat berkaitan industri ini khususnya perkara berkaitan bahan mentah dan keperluan ke atasnya. Disamping mendapatkan maklumat berhubung pengeluaran, perbincangan turut diadakan bagi mengenalpasti sekiranya terdapat masalah yang berkaitan dengan Jabatan. Pihak syarikat turut berkongsi harapan agar industri perlombongan dan ekonomi negara amnya kembali aktif.

Pada tahun 1970, Guocera telah membina kilang pertamanya di Kapar, Klang, Selangor. Seterusnya Guocera terus berkembang dengan terbinanya kilang di Meru, Klang, Selangor (1979) dan Kluang, Johor (1988). Dalam memastikan Guocera terus bersaing dengan pasaran global khusus dalam memelihara kualiti produk keluarannya, pada tahun 1998 Guocera membangunkan Pusat Penyelidikan Seramik (Ceramic Research Centre, CRC) di Kapar, Selangor.

Keadaan ekonomi yang kurang stabil memberi kesan besar kepada industri ini kerana produk berasaskan tanah liat ini merupakan pelengkap kepada sesebuah pembinaan. Disamping itu, pihak syarikat turut berhadapan dengan masalah memastikan bekalan bahan mentah utamanya iaitu lempung bebola (ball clay) yang hanya terdapat di Batang Berjuntai, Selangor terus bertahan. Peranan pihak kerajaan amat diperlukan bagi memastikan Guocera terus bersaing dalam pasaran global antaranya insentif dalam tarif elektrik dan kawalan penjualan bahan mentah ke luar negeri. 

 

Written by : asrul