SULTAN JOHOR BERKENAN CADANGAN DAERAH MERSING SEBAGAI GEOPARK KEBANGSAAN

SULTAN JOHOR BERKENAN CADANGAN DAERAH MERSING SEBAGAI GEOPARK KEBANGSAAN

Mersing, 26 November 2018 - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berkenan dengan cadangan daerah Mersing sebagai Geopark Kebangsaan sempena Kembara Mahkota Johor bertempat di Pantai Sekakap Mersing, di sini, hari ini. Pelancaran tersebut merupakan hasil usaha Pusat Geokejuruteraan Tropika (GEOTROPIK), Universiti Teknologi Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains Johor (JMG) dan Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang meneraju Jawatankuasa Saintifik dan Pemuliharaan Geopark Mersing sejak 2017.

Pengarah GEOTROPIK, Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad berkata, geopark perlu ada warisan unik geologi bersifat antarabangsa disertai dengan biodiversiti unik, budaya dan penyertaan komuniti setempat. β€œCadangan mengiktiraf Mersing sebagai sebuah Geopark Kebangsaan adalah selaras dengan usaha kerajaan meletakkan daerah Mersing sebagai destinasi pelancongan yang berkembang maju, baik domestik mahupun antarabangsa.

β€œKeistimewaan daerah ini adalah berdasarkan pada ianya merupakan daratan terawal terbentuk di Semenanjung Malaysia, selain ia merupakan lingkaran arka volkanik aktif 300 juta tahun lalu, β€œ katanya. Geopark adalah sebahagian daripada pembangunan serantau yang mampan yang akan memberi tumpuan kepada pemulihan warisan semula jadi, kesejahteraan rakyat, dan generasi pendapatan melalui pelancongan. Pelan komprehensif akan disediakan bagi memastikan matlamat pembangunan geopark iaitu untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi, melindungi kesejahteraan rakyat dan untuk menyumbang keuntungan kepada negeri.

Sumber artikel - UTM Newshub

Written by : asrul