PELANCARAN TELAGA AIR BAWAH TANAH JABATAN MINERAL DAN GEOSAINS JOHOR DI KG GEMBUT, SEDILI, KOTA TINGGI

telaga tiub gembut

Kota Tinggi, 26 Oktober 2016 - Program Pelancaran Sumber Air Bawah Tanah di Kampung Gembut Sedili telah disempurnakan pelancarannya oleh YB ADUN Sedili Tn Hj Rasman bin Hj Ithnain. Hasil kajian oleh Jabatan Mineral dan Geosains Johor menunjukkan bahawa kawasan Kg Gembut mempunyai potensi sumber air bawah tanah yang boleh menampung keperluan air setempat. Turut hadir ialah wakil dari Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ), Syarikat Air Johor (SAJ), Guru Besar SK Kg Gembut, Ketua Kampung Kg Gembut dan kampung-kampung sekitar serta penduduk Kg Gembut.

Telaga air bawah tanah sedalam 31 meter yang dibangunkan oleh JMG ini adalah untuk membantu LRA Sg Gembut dalam menangani masalah kekurangan bekalan air bersih khususnya apabila berlaku kemarau.

Telaga yang dibina ini merupakan telaga kajian yang boleh digunakan sebagai telaga pengeluaran. Sejumlah 6000gph (gelen per jam) atau 0.5mld (juta liter per jam) air berupaya dikeluarkan daripada telaga ini yang bersaiz diameter 8inci.

Maka bagi memenuhi keperluan air di kawasan berkenaan iaitu 2mld, kajian lanjut akan dilakukan dan sekurang-kurangnya dua telaga tiub dengan kedalaman yang sama perlu dibina tetapi dengan diameter yang lebih besar saiznya.

Pemerhatian awal turut menunjukkan bahawa kawasan ini turut berpotensi bagi pembangunan RBF (riverbank filtration).

Written by : asrul