PROGRAM PENILAIAN GEOPARK MERSING

PROGRAM PENILAIAN GEOPARK MERSING

Mersing, 22-24 Disember 2018 - Baru-baru ini, satu program penilaian bagi mengangkat Mersing Geopark sebagai Geopark Kebangsaan telah dijalankan melibatkan 9 tapak warisan merangkumi geologi, biodiversiti dan budaya.

Penilaian tersebut telah dijalankan oleh dua orang penilai dari Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan iaitu Dr. Dana Badang dan En. Azmil Munif bin Mohd Bukhari serta turut disertai dua pemerhati iaitu Dato’ Kamarulzaman bin Abdul Ghani (Bekas CEO LADA) dan En. Mohammad Mustadza bin Mazni (JMG Ibu Pejabat, Cawangan Perancangan & Pengurusan) dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim bin Komoo.

Penilaian ini adalah agenda yang sangat penting bagi memastikan Mersing Geopark berjaya mendapat pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan.

Penglibatan agensi setempat dan negeri amat menggalakkan serta mengujakan para penilai dan delegasi. Antara agensi utama yang turut serta sepanjang proses penilaian dijalankan ialah Pejabat Daerah Mersing, Majlis Daerah Mersing, UPEN, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Pelancongan Negeri Johor, JAKOA, Polis, Penghulu dan Ketua Kampung serta Pejabat Pendidikan Daerah Mersing dan Pengetua SMK Sri Mersing.

Program dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh wakil rasmi Pegawai Daerah Mersing, Tn. Hj. Norazmi Amir Hamzah seterusnya diikuti oleh sesi taklimat dan penerangan Pengerusi Jawatankuasa Saintifik dan Pemuliharaan, Profesor Dr. Edy Tonnizam Mohamad dan JMG Johor, En. Mohd Fauzi Rajimin.

Sembilan geotapak yang dinilai adalah mewakili tiga elemen geopark dan sekolah angkat telah dinilai iaitu;

Tapak Warisan Geologi

  1. Batuan Formasi Mersing di Tanjung Kempit
  2. Tapak Volkano Penyabong
  3. Dataran Pasang Surut Pulau Mawar
  4. Batuan volkano Pulau Sibu
  5. Batuan konglomerat Tanjung Leman

Tapak Warisan Biodiversiti

  1. Taman Eko-Rimba Gunung Arong

Tapak Warisan Budaya

        i. Warisan Zapin dan Ghazal Pulau

        ii. Warisan Silat Buah Pukul Mersing

Sekolah Angkat Mersing Geopark: SMK Sri Mersing

Sumber artikel - En. Noorazhar bin Ngatimin dan En. Asrul Sani bin Abdullah

Written by : asrul