MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BIL.5/2019

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN BIL.5/2019

KOTA KINABALU, SABAH (29 MEI 2019) : RABU, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Sabah (JMG Sabah) telah mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan Bil.5/2019 pada selasa, 28hb. Mei 2019 yang lepas. Urus setia penganjur majlis perhimpunan bulanan pada kali ini adalah Unit Pembangunan Lombong dan Kuari (UPLK), JMG Sabah.

Seperti majlis perhimpunan bulan-bulan yang lepas, majlis pada kali ini telah dimulai dengan bacaan doa yang dipimpin oleh En. Aidil Arnolous Rema, Pegawai Geosains. Walaupun kehadiran keseluruhan kakitangan pada kali ini agak kurang memuaskan disebabkan sebahagian kakitangan bertugas di luar pejabat, namun majlis berjalan dengan begitu lancar tanpa sebarang gangguan.

Setelah selesai menyanyikan tiga buah lagu utama perkhidmatan awam, majlis disajikan dengan pengucapan awam oleh dua orang kakitangan JMG Sabah iaitu En. Arthur Leo dan Cik Helviana Malaya. Sebaik selesai sesi pengucapan awam, sesi suai kenal tiga orang pegawai baharu iaitu Cik Jennifer Evlyn Sambang (Pegawai Khidmat Pelanggan), Pn. Rizidah Majawal(Penolong Pegawai Tadbir) dan En. Mohd Yusof b. Asby(Penolong Pegawai Geosains). Malangnya Pn. Rizidah Majawal tidak dapat menghadirkan diri bersama-sama disebabkan kekangan tugas utama yang perlu diselesaikan dengan kadar segera.

Majlis diteruskan lagi dengan satu slot taklimat yang bertajuk “Program Kesedaran Keselamatan Siber JMG” yang telah disampaikan oleh Pn. Lena Anggie, Pegawai Teknologi Maklumat. Setelah itu, Y. Bhg. Tuan Pengarah JMG Sabah, En. Mohd. Yusup bin Ramli telah menyampaikan ucapan dan perutusan Majlis Perhimpunan Bulanan Bil.5/2019 yang membahaskan tentang hal-hal berkaitan dengan pentadbiran pejabat, status peruntukan kewangan semasa, langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil tindakan semasa bercuti perayaan hari raya aidilfitri dan lain-lain.

Di akhir majlis perhimpunan ini adalah penyampaian sijil tamat Latihan Industri (LI) kepada dua orang pelajar LI iaitu Cik Lily Azleena Azreen binti Bahrin dan Cik Nur Astika Ab. Rashid yang telah disempurnakan oleh Y. Bhg. Tuan Pengarah.

 

Written by : HERORISAN