Pada 8 dan 9 Oktober yang lalu, PPM dengan kerjasama daripada pihak BPT telah mengadakan Latihan Kerja Geofizik (Microgravity) dan Ujian Proba Mackintosh bertempat di tapak cadangan bangunan Makmal Silika PPM. Latihan yang melibatkan seramai 15 orang warga PPM ini terdiri daripada para pembantu penyelidik yang baharu.
Kedua-dua kaedah Geofizik (Microgravity) dan Proba Mackintosh ini merupakan ujian yang dijalankan untuk mendapatkan nilai keupayaan galas tanah. Keputusan yang diperolehi daripada ujian ini akan memberikan gambaran secara kasar mengenai kekuatan lapisan tanah pada titik tersebut.Oleh itu, latihan ini adalah amat penting kepada pembantu-pembantu penyelidik yang baharu untuk diberikan pendedahan serta ilmu pengetahuan tambahan yang akan membantu mereka dalam menjalankan kerja-kerja penyelidikan di PPM.
Hari yang pertama merupakan sesi pengenalan kepada dua kaedah tersebut tetapi PPM lebih menekankan kepada Ujian Proba Mackintosh seperti tujuan penggunaan, peralatan, cara pengendalian serta cara merekod data dan memplot graf di akhir ujian. Segala penerangan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah PPM, En. Aminudin Bin Mahmud dan dibantu oleh Pembantu Penyelidik, En. Ali Bin Ismail dari segi kaedah pengendalian peralatan.
Latihan diteruskan lagi dengan demonstrasi pemasangan dan pengendalian peralatan Proba Mackintosh. Semua pembantu penyelidik bersama-sama mengambil peluang untuk mencuba mengendalikan alat tersebut di samping pemantauan dan tunjuk ajar daripada En. Aminudin Bin Mahmud dan En. Ali Bin Ismail. Sesi petang diteruskan dengan cara-cara untuk menukar data yang telah direkod dalam bentuk graf. Melalui kaedah ini, para pembantu penyelidik dapat mengenalpasti corak-corak kedalaman tanah di sekitar PPM.
Hari kedua juga diteruskan dengan melakukan Ujian Proba Mackintosh, namun kali ini semua pembantu penyelidik harus melakukannya sendiri di samping pemantauan dari jauh. Data yang telah direkod serta graf yang telah siap diplot telah disemak oleh Timbalan Pengarah dan diluluskan. Perkara ini membuktikan bahawa mereka semua memahami sepenuhnya tentang latihan tersebut.
Latihan ini telah berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan oleh PPM. PPM mengharapkan agar latihan seperti ini mampu menolong para pembantu penyelidik untuk melakukan kerja-kerja penyelidikan di PPM dengan lebih efektif pada masa hadapan.
http://blog.jmg.gov.my/pusat-penyelidikan-mineral/latihan-kerja-geofizik-microgravity-dan-ujian-proba-mackintosh#sigProIdbf12e38fbf