Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara JMG dan Petronas Research Sdn Bhd (PRSB) telah berjaya diadakan bertempat di Petronas Research Sdn Bhd, Bangi pada 16 Mac 2017 yang lalu. Perjanjian tersebut telah ditandatangani antara JMG yang diwakili oleh Ketua Pengarah JMG, YBhg Datuk Hj Mior Sallehhuddin Bin Mior Jadid dan Syarikat PRSB yang diwakili oleh Ketua Teknologi Penyelidikan (Head Technology Research) merangkap CEO Syarikat PRSB, Dr Syahidah bt Md Shariff.
Tujuan perjanjian ini ditandatangani adalah bagi menjalankan penyelidikan bersama dalam bidang penghasilan kalsium karbonat termendak (precipitated calcium carbonate, PCC). Kerjasama antara PRSB dan JMG melalui Cawangan Teknologi Berasaskan Batuan, Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) adalah bagi menentusahkan konsep penghasilan PCC mengunakan kaedah yang telah dibangunkan oleh penyelidikan daripada cawangan tersebut. PPM. Dengan termeterainya perjanjian ini, pihak JMG dan PRSB adalah selangkah ke depan dalam membangunkan penyelidikan dan pembangunan yang menjurus kepada industri minyak dan gas.
Turut hadir menyaksikan acara memeterai perjanjian ini adalah YBrs Dr Nasir bin Hj Darman, Ketua Kumpulan Penyelidikan dan Teknologi Petronas, YBrs En Md Muzayin bin Alimon, Pengarah PPM, En Kamal bin Daril, Pengarah Cawangan Perancangan Pelaksanaan Ibu Pejabat JMG dan juga pegawai-pegawai JMG dan PRSB.
Kami di PPM, JMG mengucapkan selamat maju jaya dan berdoa semoga usahasama ini dapat diketengahkan sehingga ke peringkat pengkomersialan.